JASIN - Seorang warga emas dengan simptom jangkitan koronavirus (Covid-19) yang melarikan diri dari Hospital Jasin telah berjaya dikesan dan dibawa pasukan petugas khas hospital itu ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, maklumat awal mendapati lelaki berusia 65 tahun itu yang ditemui pada kira-kira 7 malam Ahad, adalah antara mereka yang menyertai program ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lepas.
"Lelaki itu yang merupakan gelandangan berasal dari Perlis, sebelum ini hadir ke Hospital Jasin untuk melakukan pemeriksaan dan dikesan mempunyai simptom Covid-19.
Loading...
"Ketika dalam proses ditahan dalam wad untuk mendapatkan rawatan lanjut, dia bertindak melarikan diri dan doktor telah membuat laporan polis kira-kira 5.30 petang semalam," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Insiden warga emas itu melarikan diri dari hospital telah tular di media sosial.
Mispani berkata, sebaik mendapat laporan itu, sepasukan anggota polis digerakkan untuk mengesan lelaki tersebut.
Beliau juga berkata, setakat ini, sejumlah 30 peserta program itu yang berasal dari Jasin secara sukarela telah melakukan saringan Covid-19 dan didapati negatif.
Loading...
"Saya juga ingin menyarankan kepada semua peserta ijtimak tabligh, terutama dari daerah Jasin agar melakukan saringan Covid-19 secara sukarela di mana-mana hospital atau klinik kesihatan.
"Lebih baik kita mencegah daripada berlaku perkara yang lebih mudarat lagi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mispani berkata, 15 individu berusia lingkungan 18 hingga 55 tahun, termasuk tujuh pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam di Merlimau, adalah antara yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di daerah Jasin sepanjang bulan Februari hingga semalam.
Beliau berkata, pelbagai jenis dadah yang dianggarkan seberat 2,379 gram bernilai RM63,585 dirampas susulan penahanan itu.
"Kebanyakan mereka yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan polis Jasin akan terus melaksanakan risikan serta operasi bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah di daerah ini," katanya. – Bernama
Join our Telegram Channel