SEPANJANG pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, pelbagai ragam masyarakat Malaysia dapat kita saksikan. Ada yang dahulunya tidak begitu pandai menggunakan aplikasi di telefon bimbit tetapi kini sudah lebih daripada pandai.
Setiap apa yang diinginkan, Google sahaja dan beli secara online. Dalam beberapa jam atau mungkin beberapa hari, barang tersebut akan tiba ke rumah. Cukup mudah, semuanya di hujung jari.
Tidak salah juga jika dikatakan, sepanjang tempoh PKP ini, antara golongan lelaki dan wanita sudah tentunya golongan lelaki yang paling banyak terasa kesannya kerana sebelum ini kebanyakan mereka seharian bertugas di luar tetapi kini terpaksa duduk di rumah.
Loading...
Oleh itu, jangan hairan jika ada golongan suami yang dahulunya tidak pernah melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh dan melipat baju tetapi kini sudah diharap.
Bagus juga membantu isteri membuat kerja rumah daripada makan tidur, makan tidur tanpa melakukan apa-apa.
Disebabkan itu, ada golongan lelaki yang mula membuat kelakar dengan memakai baju kelawar yang sebelum ini sinonim dalam kalangan suri rumah. Kemudian, gambar tersebut diposkan di media sosial sehingga menjadi ikutan. Benda-benda pelik seperti itu memang ramai yang cepat tiru.
Lucu, ya mungkin lucu bagi kita namun ada sesuatu yang perlu dilihat secara lebih mendalam.
Loading...
Seperti yang dihuraikan oleh pendakwah Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed di Facebooknya, beliau memberi nasihat berkenaan pakaian berlawanan jantina ini.
“Sebenarnya, ada satu kisah yang diceritakan oleh seorang isteri Nabi Muhammad SAW iaitu Ummu Salamah RA yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam sunannya.
“Sayyidah Ummu Salamah RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW pernah masuk menemuinya ketika beliau sedang memakai tudung. Lalu Baginda bersabda: ‘Lilitkanlah sekali sahaja, jangan dua kali lilitan‘.
“Abu Daud berkata: Makna sabda Nabi, ‘Lilitlah sekali sahaja, jangan dua kali lilitan’ iaitu jangan engkau memakai tudung seperti lelaki memakai serban, jangan engkau ulangi lilitannya berkali-kali.”
Ujar Syed Shahridzan, beliau yakin isteri Rasulullah itu memakai tudung dengan dua kali lilitan bukan berniat untuk menyerupai lelaki. Tidak mungkin wanita sesolehah Sayyidah Ummu Salamah terlintas di hatinya untuk berbuat demikian.
“Namun, amat jelas teguran Baginda SAW sebagai tegahan agar seseorang itu tidak berketrampilan seperti jantina berlawanan meskipun tiada niat di hati,” jelas beliau.
Rasulullah SAW juga melarang keras lelaki memakai pakaian perempuan. Begitu juga sebaliknya dalam beberapa hadis.
Bahkan, perbuatan itu mendapat laknat daripada ALLAH dan rasul-Nya bagi sesiapa yang tahu tentang pengharamannya, namun tetap melakukannya.
Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Mengulas mengenai perkara itu, mungkin sesetengah daripada kita terlupa mengenai larangan tersebut. Apatah lagi dengan pelbagai aplikasi yang membuatkan kita terhibur dan mungkin teralpa kerana terlalu seronok dan ghairah berkongsi.
Mungkin dengan teguran ustaz itu, setiap daripada kita menjadi lebih berhati-hati untuk bergambar dan berkongsi di media sosial. Jika ada perkara yang membuatkan kita ragu-ragu maka usahlah kita ikuti.
Tidak salah untuk kita berhibur tetapi biarlah yang mengikut syariat Islam. Jika kita pernah buat kesilapan, segeralah mohon keampunan.Andai kata ada ahli keluarga atau kawan-kawan yang ‘terbuat’ perkara sedemikian rupa, jangan sesekali mengecam mereka. Sebaiknya, bimbing mereka ke jalan yang benar dan doakan semoga mereka diberikan hidayah oleh-NYA. – Sinar
Join our Telegram Channel