Kedai pajak gadai jadi tumpuan orang ramai



Selepas 46 hari seluruh negara dikenakan perintah kawalan pergerakan PKP, kelonggaran sekatan yang berkuatkuasa hari ini menyasikan sebilangan besar rakyat yang kekurangan wang tunai beratur di kedai-kedai pajak gadai.

Fenomena di seluruh negara ini dilaporkan oleh ramai warga maya di media sosial.

Tinjauan Malaysiakini di Petaling Jaya mendapati ramai yang berbaris panjang di beberapa kedai pajak gadai. Malah, sebuah kedai yang kami kunjungi mempunyai kira-kira 30 pelanggan yang berbaris di luar.

Freeman Tan, yang mengendalikan cawangan Pajaking di bandar lama Petaling Jaya, berkata, sebahagian besar daripada pelanggan menggadaikan emas mereka untuk mendapatkan wang tunai.


Loading...

Katanya, sebahagian besar mereka adalah golongan berpendapatan rendah yang kehidupannya terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak Mac lalu.

Tan berkata bahawa dia menyediakan sejumlah wang tunai yang besar hari ini kerana memang menjangkakan peningkatan pelanggan hari ini.

"Sepanjang tempoh PKP, ramai pelanggan menelepon dan meminta saya membuka semula kedai. Mereka sangat memerlukan wang tunai," katanya, sambil menambah bahawa dia terpaksa menolak permintaan tersebut.

Menurut Tan, sebilangan pelanggan tidak menyimpan wang di bank dan lebih suka memakai barangan kemas yang mudah digadaikan atau dijual apabila timbul keperluannya.

Walaupun kerajaan membenarkan kedai pajak gadai beroperasi semasa fasa 2 tempoh PKP, namun kebanyakan mereka memilih untuk menutup.


Loading...

Tebus cincin

Pada awal April lalu, persatuan yang mewakili kedai pajak gadai bersetuju untuk melanjutkan tempoh pembayaran selama tiga bulan.

Pajaking adalah antara kedai yang mematuhi lanjutan tiga bulan itu.

Ada juga pelanggan yang memberitahu Malaysiakini bahawa mereka bimbang kehilangan barang yang digadaikan dan memutuskan untuk datang menebusnya, hari ini.

Seorang pelanggan, yang tidak mahu dikenali, berkata, dia menggadaikan cincinnya dan tarikh akhir tebus adalah pada 1 April. Dia mahu menyelesaikan pinjamannya hari ini dan menebus cincinnya.

"Saya kerja menghantar barangan dan dibenarkan kerja semasa tempoh PKP. Jadi saya mampu bayar balik pinjaman," katanya.

Seorang pelanggan lain bekata tempoh gadaiannya sudah luput dan dia segera datang untuk membayar bunga serta memohon lanjutan untuk mengelakkan barangannya dirampas. Dia tidak menyedari tentang lanjutan tiga bulan yang diberikan itu.


Sementara itu, Tan berkata bahawa dia tidak menyedari bahawa industri pajak gadai bukan termasuk sektor yang dibenarkan beroperasi mengikut peraturan kerajaan negeri Selangor.

Peraturan itu dimuat naik di laman web Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada jam 10 malam tadi.

Rakyat keliru

Tan bukannya keseorangan. Banyak perniagaan lain yang tidak termasuk dalam senarai Amirudin dibuka hari ini.

Mereka termasuk, Hong, 30, yang menjalankan perniagaan mencuci kereta. Dia berkata, terdapat kekurangan penyelarasan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Saya tidak terima notis dari kerajaan negeri Selangor. Jika mereka beri notis, saya tidak akan buka," katanya.

Hanya seorang pelanggan yang mencuci kereta di kedai Hong pagi ini dan pengusaha itu bimbang tentang masa depan perniagaannya. Sebagai langkah berjaga-jaga, dia kini tidak membenarkan pelanggan menunggu di premisnya.

Pemilik kedai alat tulis, yang hanya ingin dikenali sebagai Kuok, berkata sejak sekolah ditutup, prospek perniagaan jangka pendeknya suram. – Mkini

Loading...



Loading...






Join our Telegram Channel
Telegram