Melaka bakal dapat TYT baharu?



AYER KEROH: Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai senarai nama Yang di-Pertua Negeri Melaka baharu yang dikatakan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, beliau tidak mengetahui apa-apa berkaitan perkara itu kerana baginya Tun Dr Mohd Khalil Yaakob masih lagi berkhidmat dan institusi berkenaan perlu dihormati.

"Mana datang TYT (Tuan Yang Terutama) baru pula? (jika ada perubahan) anda (wartawan) kena tanya Agong, jangan tanya saya kerana pelantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka adalah kuasa mutlak baginda, bukan saya," katanya.

Loading...

Ketika ditemui selepas menyaksikan upacara angkat sumpah Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Graha Makmur, di sini hari ini, Sulaiman berkata, jika ada yang mendakwa senarai nama calon pengganti Mohd Khalil itu diputuskan oleh Pejabat Ketua Menteri, ia di luar pengetahuannya.

Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dilaporkan berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja untuk menentukan calon pengganti Mohd Khalil.

"Saya tak tahu apa-apa (senarai nama yang dicalonkan kerana) ia diputuskan oleh Pejabat Ketua Menteri," Ab Rauf dipetik berkata.

Loading...

Isu pengganti Mohd Khalil menarik perhatian termasuk di media sosial sejak minggu lalu yang mana turut mengaitkan nama bekas Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam, sebagai pengganti.

Selain Mohd Ali, nama lain yang disebut-sebut adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan yang juga bekas menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim serta bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Mohd Khalil, 82, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam pada 2 Jun 2004 dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 4 Jun 2004 bagi menggantikan Tun Syed Ahmad Shahabudin.

Khidmat beliau disambung semula pada 27 Mei 2016 sehingga 4 Jun ini. – Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram