Hamid Bador akui gagal tangkap Jho Low, misi diteruskan



Polis belum putus asa dalam usaha untuk membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang dituduh mendalangi skandal dana 1MDB.

"Saya masih berusaha mencapai matlamat ini. Saya akui bahawa saya telah gagal (bawa Jho Low pulang hujung tahun lalu) tetapi itu tidak bermaksud usaha untuk membawanya kembali terhenti, " kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam wawancara The Star.

Sebelum ini, Abdul Hamid menyasarkan untuk membawa Jho Low pulang hujung tahun lalu.

Sementara itu, Abdul Hamid mengulangi bahawa polis tahu lokasi Jho Low bersembunyi tetapi mengakui bahawa polis masih menghadapi kekangan untuk membawa Jho Low pulang ke Malaysia.


Loading...

Abdul Hamid berkata polis telah menghubungi rakan sejawat mereka di sana tetapi masih tidak mendapat kerjasama.

"Ada laporan berita luar baru-baru ini yang mendakwa Jho Low berada di Kuwait tetapi sebenarnya pada tahun 2016.

"Jika dia benar-benar berani, maka dia harus keluar dari tempat persembunyiannya," cabar Abdul Hamid.

Ketua polis negara itu juga menafikan bahawa beliau boleh didiamkan dengan rasuah daripada Jho Low.

“Saya tidak boleh dibeli kerana misi saya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Usaha untuk bawa dia ke muka keadilan akan diteruskan," katanya.


Loading...

Minggu lalu, Jho Low dilaporkan oleh Wall Street Journal dalam perjalanan ke Kuwait, dalam usaha melarikan diri daripada notis penangkapan antarabangsa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di AS dan Malaysia.

Februari lalu, Abdul Hamid mendedahkan bahawa perkhidmatan perisikan mendapati bahawa Jho Low telah mengunjungi Wuhan, China, yang merupakan pusat wabak Covid-19.

Jho Low, bersama bekas perdana menteri Najib Razak, dituduh menyalahgunakan jutaan ringgit melalui 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International.

Penyiasat antarabangsa, termasuk Jabatan Kehakiman AS, telah membuat kesimpulan bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion disalahgunakan dari 1MDB.

Pada Januari lalu, Jho Low menafikan menjadi dalang di sebalik skandal 1MDB, dengan mengatakan bahawa dia hanya menjadi perantara untuk urusan yang melibatkan syarikat itu.



Jho Low juga memberi gambaran ditawarkan suaka oleh sebuah negara di Eropah tahun lalu "berdasarkan penganiayaan politik."

Selain Jho Low, Abdul Hamid mengatakan polis tidak akan berhenti mencari bekas pengarah dan CEO SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan beberapa yang lain.

"Dia (Jho Low) bertanggungjawab merompak dana negara. Kami tidak akan rehat (dari memburunya) sehingga di dipenjara.

"Kerana dia dan beberapa yang lain, negara dibebani hutang," kata Abdul Hamid lagi.

Jho Low, Nik Faisal, Eric Tan Kim Loong, Casey Tang, Jasmine Loo dan Geh Choh Heng adalah antara yang dikehendaki oleh pihak berkuasa sejak 2015 untuk membantu siasatan. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram