Saya dapat pahala,” kata saksi kes Zahid



PUTRAJAYA – Omar Ali Abdullah, saksi perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia bersetuju membantu menguruskan sumbangan daripada Yayasan AlBukhari untuk dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi kerana akan mendapat ganjaran pahala dari Allah.

Dia berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau menerima ganjaran daripada Ahmad Zahid kerana membantunya.

“Saya dapat ganjaran pahala dari Allah. Duit ini duit sumbangan. Tanggungjawab saya masukkan duit. I have done my job,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-81 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid.

Menurut Omar, Yayasan Al-Bukhari menerusi beberapa wakilnya telah menyerahkan sejumlah wang tunai kepadanya untuk dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi.

Loading...

Omar, seorang pengurup wang, berkata, sumbangan itu diserahkan secara berperingkat dan disampaikan oleh individu berbeza yang mewakili Yayasan Al Bukhari.

Ketika disoal timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, dia berkata penyerahan sumbangan itu dibuat di beberapa lokasi, antaranya di tingkat bawah Plaza Fahrenheit, lobi Hotel Marriot dan lobi Hotel Grand Millenium.

Omar Ali berkata, pada peringkat awal setiap kali menerima sumbangan wang tunai dari mereka, dia akan menukarnya dengan cek kawan-kawan yang dikenalinya sebelum memasukkannya ke akaun Yayasan Akalbudi.

Omar berkata dia kemudiannya akan menyerahkan slip kemasukan cek kepada Ahmad Zahid.

Loading...

Selain dimasukkan terus ke akaun Yayasan Akalbudi, sebahagian cek dimasukkan ke akaun Tetuan Lewis & Co sebagai pemegang amanah.

Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Omar berkata dia mengenali Zahid sejak berusia awal 20an, di mana ketika itu Zahid adalah seorang Senator.

Omar yang juga berasal dari Bagan Datuk, memberitahu mahkamah, pada sekitar 2014 dia telah diminta oleh Zahid untuk menguruskan kemasukan wang tunai ke dalam akaun Yayasan Akal Budi.

“Zahid memberitahu wang tunai itu semua dari sumbangan bagi tujuan kebajikan. Katanya penyumbang dari Yayasan AlBukhari akan menghubungi saya untuk memberikan wang tunai.

“Dia meminta saya menukarkan wang tunai yang diterima itu dalam bentuk cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

“Lebih kurang seminggu kemudian, semasa saya berada di pejabat, saya telah menerima panggilan pertama yang mana seorang lelaki yang tidak saya kenali telah bertanya kepada saya jika saya mempunyai masa terluang kerana ingin memberikan wang tunai dari Yayasan Al Bukhari. – SuaraTV

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram