Guan Eng saman timbalan speaker Melaka isu fitnah di Facebook



Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memfailkan saman terhadap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Ghazale Muhamad susulan kenyataan Facebook yang menuduhnya melantik 30 pegawai khas ketika menjadi menteri kabinet.

Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dalam satu kenyataan hari ini mengatakan bahawa bekas menteri kewangan itu telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Ghazale, yang juga merupakan Adun Umno.

Menurut catatan Facebook Ghazale pada 11 Ogos, dia menuduh Lim memilih sendiri dan melantik sepasukan 30 pegawai khas ke Kementerian Kewangan (MOF), yang menurutnya adalah anak muda Cina berusia antara 20 dan 30 tahun.

Dia juga mendakwa bahawa pegawai-pegawai khas itu diketuai oleh setiausaha politik Lim, Tony Pua dan menerima gaji bulanan pada skala yang sama dengan penjawat awam gred Jusa antara RM8,000 hingga RM15,000.



Kenyataan Ghazale di Facebook itu masih dapat diakses ketika berita ini ditulis pada jam 3 petang hari ini.

Dalam kenyataan itu, Ghazale juga mendakwa bahawa Lim telah melantik pegawai-pegawai berkenaan dengan tujuan khusus untuk meneliti kes-kes yang melibatkan tokoh-tokoh Umno, menguruskan aset MOF dan menyusun belanjawan yang memihak kepada orang Cina.

"Kenyataan Facebook itu membuat dakwaan perkauman terhadap Lim Guan Eng dan juga menuduhnya menjual aset negara.

"Kenyataan Ghazalee sama sekali palsu dan fitnah. Ini hanyalah usaha tipikal untuk mendakwa Lim Guan Eng dan DAP sebagai penjahat," kata Khoo dalam kenyataannya.



Saman terhadap Ghazale hadir dua bulan selepas ahli politik itu meminta maaf kepada pemimpin DAP yang lain, Teo Nie Ching setelah dia didakwa menyiarkan semula berita palsu terhadap Ahli Parlimen Kulai itu.

Kiriman palsu itu mendakwa Teo meminta kewarganegaraan untuk anak-anak dari negara lain untuk mengimbangkan jumlah Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini.

Susulan itu, Ghazale telah membuat permintaan maaf itu setelah Teo mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berhubung kenyataan itu.

"Ghazale jelas tidak mendapat pengajaran apabila dia meneruskan kebiasaan menyebarkan pembohongan dengan kenyataan terbaru terhadap Lim Guan Eng.

"Kes-kes ini menunjukkan bahawa Ghazale adalah seorang yang sering menyebarkan pembohongan dan berita palsu.



"Tingkah laku seperti itu tidak dapat diterima untuk seorang Timbalan Speaker DUN, yang seharusnya beretika, adil, dan tidak berat sebelah dalam tingkah lakunya.

"Ghazale harus segera menarik balik kenyataan palsu itu dan meminta maaf kepada Lim Guan Eng. Namun, orang ramai tidak boleh lupa kenyataannya sebagai penyebar berita palsu berkaitan dengan kes-kes ini," kata Khoo.

Dalam respons kepada Malaysiakini berhubung saman Lim, Ghazale mengesahkan menerima surat tuntutan berkenaan namun berkata kenyataan di Facebooknya itu bukan seperti kelaziman gaya tulisannya.

Justeru, Ghazale tidak menolak kemungkinan Facebooknya digodam.

Dia juga memaklumkan bahawa dia sudah meminta peguamnya untuk menyemak perkara itu. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram