Majlis Tertinggi Bersatu setuju sertai Muafakat Nasional



Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi parti itu telah memberi persetujuan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Dalam rakaman ucapan yang ditujukan buat ahli Bersatu, Muhyiddin berkata beliau percaya bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk Bersatu.

"​Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau the grand coalition.



"InsyaAllah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.

Tambah Muhyiddin, penyatuan itu akan mewujudkan kestabilan politik negara yang akan memberi keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Muhyiddin yang juga perdana menteri menyampaikan ucapan itu sempena mesyuarat Bersatu Armada (sayap Pemuda), Srikandi (sayap Wanita) dan mesyuarat bahagian yang diadakan di peringkat bahagian di seluruh negara hari ini.

MN adalah pakatan politik yang dibentuk oleh Umno dan PAS pada September tahun lalu, sebagai memformalkan kerjasama mereka yang bermula beberapa tahun sebelumnya.




Umno juga merupakan sebahagian daripada Barisan Nasional, yang merupakan gabungan politik formal yang terdiri daripada dua parti lain - MCA dan MIC.

Bersama Bersatu, GPS dan Star dari Sawarak, dan PBS yang berpusat di Sabah, parti-parti dalam MN dan BN membentuk kerajaan PN, yang kini menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, PN bukanlah pakatan formal atau entiti politik yang berdaftar.

Umno, yang memegang paling banyak kerusi parlimen di antara enam parti, khususnya telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan bergabung dengan PN sebagai gabungan, tetapi sebaliknya mengajak Bersatu untuk bergabung dengan MN. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram