Mukhriz sahkan anak ditahan polis, tak nak komen pasal mabuk



TANJUNG MALIM: Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan anak dan menantunya ditahan oleh polis di sebuah pub kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bakal Presiden Parti Tanah Air (Pejuang) itu berkata, anak dan menantunya bagaimanapun, sudah membayar kompaun RM1,000 atas kesalahan tersebut.

“Memang benar bahawa anak dan menantu saya telah dibawa ke balai bersama dengan 27 orang yang lain di atas kesalahan melanggar ‘curfew’ PKPP.

“Mengikut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak polis Kuala Lumpur, mengikut undang-undang yang berkaitan, mereka semua telah dikenakan kompaun RM1,000 dan semua dah bayar termasuk anak dan menantu saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Sepetang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini sebentar tadi.



Mengulas lanjut, Mukhriz mengakui, beliau terkilan dengan tindakan anak dan menantunya itu.

Kata beliau, nasihat juga telah diberikan kepada ahli keluarganya supaya tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Saya sudah pesan kepada semua keluarga saya juga musim PKPP ini janganlah langgar kerana kita mesti tunjuk contoh yang baik dan itu sebabnya saya memang kecewa bahawa pelanggaran tetap berlaku juga.

“Tetapi kita sudah beri teguran dan memang patut dia kena kompaun oleh pihak polis,” katanya lagi.



Ditanya sama ada pelanggaran SOP itu boleh menjejaskan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mukhriz menegaskan, perkara itu tidak memberi kesan langsung.

“Saya ingat ia tiada kena mengena. Kalau nak ikut kesan banyak lagi isu-isu di luar sana yang mungkin menjejaskan peluang calon BN (Barisan Nasional) tetapi kita tak nak kaitkan,” jelasnya.

Mukhriz dalam pada itu enggan mengulas lanjut mengenai dakwaaan anaknya ditahan dalam keadaan mabuk.

“Ada pelanggaran SOP PKPP itu sahaja. Jadi, itu kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak tak berkenaan di luar daripada kenyataan rasmi polis, saya tak layan,” tegasnya.


Selain itu, Mukhriz turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak polis kerana bersikap adil dan tegas dalam mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang melanggar arahan PKPP.

Melalui video rakaman Malaysia Gazette,  wartawan turut bertanyakan tentang kesahihan anak dan menantunya yang ditahan dalam keadaan mabuk namun Mukhriz memilih untuk tidak menjawab.

“Saya komen sekadar merujuk kenyataan rasmi pihak polis sahaja, yang lain saya tak layan,” jawab Mukhriz mengelak dari menjawab.

Terdahulu, SuaraTV melaporkan anak perempuan Mukhriz ditahan di sebuah kelab malam kerana melanggar PKPP dan dikhabarkan dalam keadaan mabuk. – Astro Awani / Cinca


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram