SERDANG – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memberi bayangan tidak
akan lagi bertanding di parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan
datang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, beliau perlu berpindah ke
parlimen lain jika tidak kekal di Rembau yang dimenangi sejak 2008.
“Saya terima jemputan ini atas beberapa sebab. Yang pertamanya sudah pasti
ini adalah satu inovasi dan inovasi berkaitan dengan kementerian saya.
“Yang kedua jemputan Undang (Luak Johol) dari Negeri Sembilan saya tidak ada
pilihan melainkan hadir.
“Lebih-lebih lagi Datuk (Undang Luak Johol), mungkin saya tidak ada lagi
tempat di Rembau kena cari tempat lain pula,” katanya tersenyum.
Beliau berkata demikian ketika memulakan ucapannya pada majlis pelancaran
trak solar pertama di negara ini keluaran Biforst Group di MAEPS di sini
hari ini.
Kenyataannya tanpa diduga itu mencuri perhatian tetamu termasuk Pengerusi
Biforst Group yang juga Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah.
Bulan lalu, Timbalan Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Rembau,
Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Sri Kota
mengumumkan beliau akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15.
Namun Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dalam kenyataan balasnya
berkata, beliau sedia berbincang dengan UMNO bahagian itu sekiranya ada
pertukaran pemimpin dan kerusi pada PRU15 nanti.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, hal dalaman bahagian parti itu
biarlah dirunding secara adik-beradik untuk membuat keputusan.
Sementara itu, Khairy memberitahu, sektor pengangkutan adalah salah satu
penyumbang utama bagi pelepasan gas rumah hijau apabila jalan raya mencatat
85.2 peratus diikuti oleh penerbangan dan lain sektor.
Jelas beliau, daripada jenis kenderaan, trak mengeluarkan jumlah karbon
oksida tertinggi berbanding van.
“Oleh itu, inovasi oleh Biforst sangat dialu-alukan kerana ia akan
mengurangka jejak karbon monoksida setiap tahun dan menyumbang kepada
persekitaran yang lebih hijau.
“Saya diberitahu bahawa trak berkuasa solar ini dapat mengurangkan jejak
karbon hingga 14,600 kilogram (kg) per tahun dan meningkatkan kecekapan
bahan bakar hingga 22 peratus.
“Contohnya dengan satu liter diesel, sebuah trak dengan pendingin udara yang
digerakkan oleh enjin boleh pergi sejauh 5.8 kilometer (km). Tetapi
sekarang, sebuah trak bertenaga solar dapat pergi sejauh 7.1 km dengan
jumlah bahan bakar yang sama,” katanya. – TunCarlos
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel