RIYADH: Lima orang awam cedera selepas tembakan peluru yang dilepaskan
pemberontak Yaman, Huthi mengenai sebuah kampung di wilayah Jizan, selatan
Arab Saudi, semalam.
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, orang awam itu dikejarkan ke hospital
dan hanya mengalami 'kecederaan ringan' akibat serpihan.
Tiga kenderaan juga dilaporkan rosak di sempadan perkampungan itu, namun nama
kampung itu tidak dedahkan.
Pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran ketika ini dilaporkan masih
belum mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Sejak beberapa bulan lalu, pemberontak Syiah mula menggunakan misil dan
serangan dron ke atas Arab Saudi dan mula menyasarkan wilayah selatan serta
sempadan yang panjang antara dua negara, termasuklah Riyadh.
Gabungan beberapa negara diketuai Arab Saudi yang sudah lima tahun berperang
dengan Huthi mendakwa mereka berjaya memintas kebanyakan serangan itu.
Arab Saudi yang dipimpin Ahli Sunnah berkali-kali menuduh Iran yang majoriti
Syiah membekalkan senjata yang canggih kepada Huthi, namun Tehran menafikan
perkara itu.
Walaupun dibantu oleh negara Barat termasuk Amerika Syarikat, gabungan negara
itu kekal bergelut dengan kehadiran militan Huthi yang pakar dalam taktik
serangan gerila.
Negara gabungan campur tangan dalam menyokong kerajaan Yaman pada 2015 selepas
Huthi menawan Sanaa dan menutup kerajaan sementara yang berpangkalan di Aden.
Join our Telegram Channel