KOTA KINABALU: Polis Sabah mengesahkan terdapat cubaan warganegara jiran
yang akan memasuki negara ini secara besar-besaran bagi menjalankan
pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) hujung bulan ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, kumpulan tersebut
disyaki mempunyai dokumen yang sah untuk memasuki negara ini melalui
‘lorong-lorong tikus’.
Tegasnya, polis dan pihak berkuasa lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) sedang mempergiatkan usaha menghalang kemasukan kumpulan tersebut.
“Kita akan halau mereka daripada masuk ke negeri Sabah, kita sudah letak
aset-aset di laut dan darat bagi memperkasakan dan meningkatkan rondaan yang
sewajarnya kepada pihak-pihak yang cuba masuk ke negeri Sabah.
“Ada kemungkinan besar mereka balik untuk mengundi dan mempunyai dokumen
yang sah. Kemungkinan mereka balik ke negeri (asal) mereka dan tiba-tiba
pintu sempadan tutup. Ini ruang untuk mereka masuk kembali dan kita bimbang
penularan Covid-19,” katanya dalam sidang media perkembangan berhubung Ops
Benteng dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK)
Sabah, di sini pada Ahad.
Ditanya mengenai warganegara kumpulan berkenaan, Hazani bagaimanapun enggan
mendedahkan perkara tersebut termasuk bilangan mereka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini sebanyak 96 pos polis dan ATM
telah digerakkan di sempadan darat dan laut di Pantai Timur
Sabah-Kalimantan.
PRN Sabah ditetapkan pada 26 September ini, dengan dianggarkan 1.12 juta
pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka. – Astro Awani
Join our Telegram Channel