Kata menteri besar hal itu ada dibincangkan namun keputusan mengenainya akan
dibuat selepas ini.
Pun begitu Amirudin membayangkan kerajaan negeri tidak cenderung kepada
cadangan tersebut.
"Kalau kita bagi diskaun RM2 (untuk setiap akaun), kami perlukan kos RM4 juta.
"Daripada begitu lebih baik kita gunakan RM4 juta ini untuk menambah pegawai
yang boleh mengesan pencemaran sejak awal atau sekat laluan air daripada masuk
ke (loji) dan pam keluar," katanya.
Kerajaan negeri hari ini berkata mereka akan meningkatkan kadar hukuman ke
atas pihak yang terbabit mencemar air di negeri itu melalui pindaan Enakmen
Lembaga Urus Air Selangor (Luas).
Menteri Besar Amirudin Shari berkata melalui pindaan itu jumlah denda ke atas
pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu akan dinaikkan menjadi
minimum RM200,000 hingga maksimum RM1 juta.
Ketika ini undang-undang memperuntukkan jumlah denda maksimum RM500,000 namun
tiada jumlah minimum ditetapkan.
Kata Amirudin cadangan pindaan itu akan dibentangkan dalam sidang Dewan
Undangan Negeri (DUN) Selangor pada bulan depan.
"Bulan 11 kita (kerajaan negeri) akan tingkatkan lebih tinggi (denda) selepas
ia dibentangkan," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas kejadian pencemaran air mentah berlaku buat kali
kedua di Selangor pada bulan ini menyebabkan berlaku gangguan bekalan air
tidak berjadual.
Ia menjejaskan hampir 1.2 juta akaun pengguna Air Selangor Sdn Bhd (Air
Selangor). Bekalan itu bagaimanapun berjaya dipulihkan secara berperingkat dan
dijangka selesai esok.
Kata Amirudin kerajaan negeri juga mengarahkan Air Selangor meningkatkan
proses pemantauan 24 jam sehari di dua lembangan berkaitan untuk mengelakkan
kejadian pencemaran pada masa akan datang.
Untuk melaksanakan tugas itu, katanya, seramai 20 petugas sepenuh masa dan
kontrak akan digerakkan.
"Justeru kekerapan pengawasan terhadap kawasan itu akan bertambah dengan lebih
baik, (jika beraku pencemaran) kita dapat kesan lebih awal," katanya.
Air Selangor juga kata Amirudin akan mengenal pasti kawasan tertentu untuk
dijadikan pusat pemantauan berkenaan.
"Kerajaan negeri berharap pemantauan berterusan ni akan dapat mengurangkan
risiko pencemaran," katanya. – Mkini
ARTIKEL BERKAITAN:
- Selangor takde air lagi, lebih 1,200 kawasan terjejas
- Isu air tidak selesai, rakyat mintak MB letak jawatan
- Isu Air: Nasihat Sultan kepada MB tak beri kesan, masalah masih berlaku
- Najib sindir cara 'unik' MB Selangor selesaikan masalah air, hidu botol, amik gambar, up fb, tu je?
- Ebit hantar dua lori air untuk penduduk Batu Caves
- ARTIKEL BERKAITAN ISU AIR SELANGOR KETIK DI SINI
Join our Telegram Channel