Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah bertitah tiada
keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata
baginda berpendapat kerajaan sekarang boleh dipercayai untuk terus
melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19.
Katanya, Agong bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di
Malaysia buat masa ini.
Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah berpendapat kerajaan sekarang boleh
dipercayai untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi
membendung Covid-19.
Katanya setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu
serta melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah
berasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak ini dengan baik dan
berkesan.
"Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan
perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan
bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada terus merebak.
"Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri
Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian
negara Malaysia," katanya.
Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi permohonan yang
dipersembahkan Muhyiddin Yassin di majlis mengadap di Kuantan, Pahang pada 23
Okt lalu
Katanya permohonan tersebut ialah pelaksanaan darurat mengikut Perkara 150(2B)
Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.
Walaupun darurat tidak diisytiharkan, kata Ahmad Fadil, Agong mengingatkan
ahli politik agar menghentikan segera segala politicking yang boleh menggangu
kestabilan pemerintahan negara.
"Al-Sultan Abdullah turut berpendapat tiada perlunya ahli-ahli parlimen
meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat
kestabilan Kerajaan sedia ada," katanya.
Ahmad Fadil menambah, Agong turut menegaskan Belanjawan 2021 yang akan
dibentangkan di sidang parlimen akan datang amat penting kepada rakyat untuk
menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
"Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan
bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka," katanya.
Pada masa sama Ahmad Fadil menjelaskan Al-Sultan Abdullah amat prihatin
terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa
kluster baru dan kes positif harian Covid-19 di seluruh negara.
Katanya Al-Sultan Abdullah yakin dengan semangat perpaduan dan juang yang
tinggi seperti yang pernah dipamerkan bersama, rakyat negara ini mampu sekali
lagi memerangi gelombang ketiga penularan Covid-19.
"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat - tanpa
mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik - agar mengetepikan
segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan
peranan masing-masing membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung Covid-19
demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Spekulasi Muhyiddin mahu isytihar darurat sedang bertiup kencang
- Kabinet setuju 'darurat' alasan Covid-19
- Agong belum perkenan 'darurat', suruh PM balik dulu
- Muhyiddin cuba elak PRU dengan isytihar 'darurat' – Pembangkang
- Muhyiddin yang sedang darurat, bukan negara – Mat Sabu
- Laksana perintah darurat, tanda PM hilang majoriti
- Agong akan bincang cadangan PM dengan Raja-raja Melayu
- Muhyiddin perlu letak jawatan, jimatkan masa, biar Agong tentukan
- Darurat boleh halang PRK, PRN dan PRU – Annuar
- Respon Najib selepas Muhyiddin mahu laksana 'darurat'
Join our Telegram Channel