Selepas sekian lama membisu berhubung kerjasama dengan pemimpin terpalit
rasuah bagi menubuhkan kerajaan Melayu-Islam pimpinan Anwar Ibrahim, DAP hari
ini dengan tegas mengulangi tidak akan bekerjasama dengan Umno.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menegaskan orang luar tidak boleh
bercakap bagi pihak parti itu, termasuk dalam isu kerajaan Melayu-Islam yang
mahu ditubuhkan Anwar.
“Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada pihak luar DAP yang berhak untuk
berbuat sedemikian,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada
kekeliruan berhubung kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang
mengatakan DAP bersama-sama Umno, PKR dan Amanah menyokong Anwar untuk
menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.
“Perkara ini sudah dijawab dan pendirian DAP sudah dinyatakan dengan jelas,
yang terakhir adalah kenyataan saya kepada akhbar di Kota Kinabalu”.
Sewaktu berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Lim yang juga bekas
menteri kewangan mengatakan, DAP tidak akan bekerjasama dengan Umno, selagi di
bawah pimpinan presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden, Najib Razak.
“Kita lawan Umno, Barisan Nasional (BN), PN kerana kita tak boleh terima dasar
memecahbelahkan rakyat.
“Saya tegaskan di sini bahawa DAP tidak akan kerjasama dengan Umno di bawah
pimpinan Zahid dan juga Najib,” katanya pada 25 September lalu.
Jumaat lalu, MalaysiaNow mendedahkan Zahid dan Najib menulis surat kepada Yang
di Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menumbangkan
kerajaan PN.
Kedua-dua pemimpin Umno itu sehingga ke hari ini masih berdiam diri mengenai
perkara itu, sebaliknya beberapa penafian dilakukan oleh pegawai dan penyokong
mereka.
Lim turut menggesa Muhyiddin agar tidak tunduk kepada tekanan untuk melakukan
rombakan Kabinet dan fokus untuk menagani pendemik Covid-19.
“Perdana Menteri harus menyatakan bahawa tidak ada rombakan Kabinet, dan
menghentikan penawaran kedudukan dan jawatan politik secara tidak bermaruah
dan tidak jujur ini.
Join our Telegram Channel