SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan perasaan dukacita
terhadap masalah gangguan bekalan air yang terus menyusahkan rakyat negeri
Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, Sultan
Sharafuddin telah banyak kali menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan dan
Kerajaan Negeri berhubung isu bekalan air sejak tahun 2010.
Dalam suratnya, Baginda bertitah agar, masalah air tidak dipolitikkan
dan diatasi dengan segera kerana ia adalah merupakan keperluan asas kehidupan
rakyat.
Terbaharu, Baginda telah menulis surat kepada Menteri Besar Selangor Datuk
Seri Amirudin Shari mengenai isu gangguan bekalan air pada 8 September lalu.
Dalam surat berkenaan, Sultan Sharafuddin telah memberikan syor kepada
Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah tersebut.
Bagaimanapun surat yang diberikan Baginda tidak memberi kesan kerana masalah
itu terus berlaku.
“Dalam surat tersebut, Baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor
dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya ia
tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang
sehingga menyusahkan rakyat yang Baginda kasihi,” kata Muhamad Munir dalam
satu kenyataan.
Sementara itu, Sultan Selangor turut menzahirkan kebimbangan terhadap
peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Negeri Selangor khususnya dan di
Malaysia amnya, yang telah mencapai jumlah tertinggi sejak bulan Mac 2020.
Sultan Sharafuddin menyeru rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi
standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh
Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat menghargai usaha para doktor dan
jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh untuk memberi
rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19.
“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana
Baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan
dan melanggar SOP yang telah ditetapkan,” kata Muhamad Munir.
Baginda secara spesifik turut menasihatkan rakyat supaya terus berada di rumah
serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak.
Rakyat juga diminta sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di
tempat-tempat awam.
Sultan Sharafuddin turut bertitah, individu-individu yang pernah pergi ke
lokasi yang berisiko atau kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah
melaporkan segera kepada pusat kesihatan untuk melakukan saringan.
Mereta tidak sepatutnya menyembunyikan status kesihatan masing-masing.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Selangor takde air lagi, lebih 1,200 kawasan terjejas
- Isu air tidak selesai, rakyat mintak MB letak jawatan
- ARTIKEL BERKAITAN ISU AIR SELANGOR KETIK DI SINI
Join our Telegram Channel