IPOH – Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menyangkal dakwaan khabar
angin kononnya jawatan Menteri Besar akan bertukar dalam masa terdekat.
Tegas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar,
Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, dakwaan
berkenaan juga adalah tidak berasas sama sekali kerana pentadbiran kerajaan
negeri ketika ini berjalan dengan baik.
“Kita daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjunjung titah Yang di-Pertuan
Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya
mempamerkan kematangan dalam berpolitik, memahami dan menjiwai keluh-kesah
rakyat.
“Justeru, tumpuan semua pihak ketika ini ialah untuk bersama-sama memerangi
wabak Covid-19 serta bagaimana untuk membangunkan ekonomi negara khususnya
demi rakyat Perak mengikut bidang tugas masing-masing. Itu perkara yang perlu
diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta pemberita mengulas tentang satu berita
tular kononnnya jawatan Menteri Besar Perak yang disandang oleh Datuk Seri
Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
bakal bertukar tangan.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, penyebaran khabar angin berkenaan juga
bukanlah baharu malah sebelum ini juga tersebar berita kononnya beliau
menyokong pihak-pihak tertentu selain dihasut agar mengalihkan sokongan
daripada pentadbiran sedia ada.
ARTIKEL BERKAITAN: Perak mungkin dapat MB Baharu – Sumber
Join our Telegram Channel