SHAH ALAM - Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Isham Jalil
mencadangkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana
Menteri terlebih dahulu berikutan krisis politik yang melanda.
Isham yang juga Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor itu
berpandangan Muhyiddin perlu menyerahkan kembali kepada budi bicara dan
kebijaksanaan Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah untuk membuat sebarang keputusan.
"Ia untuk mengelakkan jalan yang panjang dan memakan masa tetapi dengan
pengakhiran yang sama (perintah darurat)," katanya dalam satu kenyataan hari
ini.
Menurutnya, langkah itu lebih sopan dan 'gentleman' iaitu dengan memberi ruang
sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan tanpa sebarang
kekangan atau paksaan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dilaporkan belum memberi sebarang perkenan
atas apa-apa cadangan susulan Mesyuarat Khas Kabinet pagi semalam termasuklah
cadangan menggantung Parlimen dan mengadakan pentadbiran darurat.
Menurut sumber, Al-Sultan Abdullah akan memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja
Melayu bagi mendapat nasihat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan
mengenai permintaan Kabinet tersebut.
Mengulas lanjut, Isham berkata, langkah yang diambil oleh Yang di-Pertuan
Agong itu adalah satu keputusan yang bijak dan tertib.
"Pada hemat saya terdapat beberapa sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong memilih
untuk memperhalusi sedalam-dalamnya cadangan darurat ini dan tidak sewenangnya
memperkenankannya.
"Pertama ialah sekiranya terdapat cara atau pilihan lain yang boleh dilakukan
dahulu sebelum langkah pengisytiharan darurat dibuat memandangkan ianya
sepatutnya menjadi pilihan terakhir.
"Kedua ialah untuk mengelakkan peruntukan darurat dalam Perlembagaan
disalahguna untuk kepentingan politik. Dalam sejarah dunia darurat akibat
politik ini pernah berlaku namun tidak sepatutnya," katanya.
Dalam pada itu, Isham berkata, sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak
memperkenankan cadangan darurat yang dikemukakan oleh Perdana Menteri maka
Perlembagaan dan Parlimen tidak akan digantung.
Katanya, sidang Parlimen yang dijadualkan pada bulan hadapan akan diteruskan.
"Walaupun terdapat permohonan usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri
dalam sidang Parlimen ini, namun usul ini besar kemungkinan tidak akan
dibentang atau diundi kerana prosedur Parlimen yang membolehkan usul-usul yang
bukan melibatkan urusan kerajaan (seperti usul undi tidak percaya) bukan
menjadi keutamaan maka ia tidak akan sempat dibentangkan," katanya.
Bagaimanapun katanya, pada sidang Parlimen bulan ini akan ada pembentangan
perbelanjaan kerajaan untuk Bajet 2021 yang memerlukan undian Ahli-ahli
Parlimen untuk diluluskan.
Menurut Isham, sekiranya kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti dalam Dewan
Rakyat untuk usul Bajet ini, maka ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan dan
Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti.
"Apabila ini berlaku maka Muhyiddin tidak ada pilihan lain selain meletakkan
jawatan dan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
"Dengan pembubaran Parlimen, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana
Menteri sementara yang lain atau boleh melantik Muhyiddin kembali sekiranya
Baginda perkenan," katanya.
Menurutnya, sekiranya wabak koronavirus (Covid-19) masih belum reda, maka
tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihanraya selepas pembubaran Parlimen
seperti yang termaktub dalam Perlembagaan boleh dilanjutkan dengan
pengisytiharan darurat.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Spekulasi Muhyiddin mahu isytihar darurat sedang bertiup kencang
- Kabinet setuju 'darurat' alasan Covid-19
- Agong belum perkenan 'darurat', suruh PM balik dulu
- Muhyiddin cuba elak PRU dengan isytihar 'darurat' – Pembangkang
- Muhyiddin yang sedang darurat, bukan negara – Mat Sabu
- Laksana perintah darurat, tanda PM hilang majoriti
- Agong akan bincang cadangan PM dengan Raja-raja Melayu
Join our Telegram Channel