Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempertimbangkan pembubaran
Parlimen pada Disember 2020 sekiranya Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan
November ini gagal mendapat kelulusan Dewan Rakyat.
Sumber yang rapat dengan pentadbiran Kerajaan memberitahu SuaraTV setakat ini
tiada perancangan Perdana Menteri untuk meletak jawatan berdasarkan surat
Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang Di Pertuan Agong.
“Walaupun Perdana Menteri cuba mencari konsensus untuk tidak membubarkan
Parlimen dalam keadaan pandemik Covid-19 tengah memuncak ini, namun
membubarkan Parlimen dan bertindak sebagai ‘cartaker government’ selama 60
hari adalah satu-satunya pilihannya jika perlu.”
Politik negara sebelum ini berkocak apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim menghadap Agong dan mempersembahkan surat sokongan ketua-ketua
parti politik yang dikatakan menyokong beliau menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun penafian UMNO bahawa Presidennya menandatangani sebarang surat
sokongan kepada Anwar Ibrahim menamatkan spekulasi Ketua Pembangkang tersebut
mempunyai majoriti yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.
Pagi tadi Perdana Menteri mengadap Tuanku Agong sebagai perjumpaan biasa
pra-mesyuarat kabinet. Bagaimanapun difahamkan ia turut membincangkan senario
politik semasa dan keadaan pandemik Covid-19.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, pembentangan Rang
Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 itu dijadual dibentangkan
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 4 petang, 6
November nanti.
Mesyuarat ke-3, penggal ke-3, Parlimen ke-14 itu akan berlangsung sehingga 15
Disember depan akan menjadi mesyuarat Parlimen terakhir untuk penggal ini jika
Belanjawan 2021 ditolak oleh Dewan Rakyat.
Join our Telegram Channel