Ketika negara gempar dengan kemungkinan pelaksanaan “darurat” bagi menangani Covid-19, Presiden Amanah, Mohamad Sabu menempelak Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sebagai pihak yang sebenar-benarnya sedang “darurat”.
“Bagi saya yang benar-benar darurat ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, bukannya negara.
“Beliau dalam keadaan 'darurat' untuk mempertahankan kedudukannya sebagai perdana menteri.
“Jika alasannya Covid-19, kita sudah ada undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk membasmi wabak ini dengan berkesan, tanpa perlu kepada pengisytiharan darurat kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kabinet hari ini dilapor bersetuju pelaksanaan darurat bagi membendung penularan Covid-19.
Seorang pemimpin kanan Umno, yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, percaya tindakan itu boleh memakan diri.
Menurutnya, ini mungkin mendorong mereka yang bersikap neural menjauhi kerajaan Perikatan Nasional dan menjadikan Muhyiddin kelihatan lemah.
“Tentunya rakyat akan melihat ini sebagai 'menggantung demokrasi' dan bukan menggantung parlimen. Ini menimbulkan lebih banyak kemarahan kepada Muhyiddin dan mereka yang berpihak kepadanya, ”tambahnya.
Pemimpin Umno itu juga mendakwa ramai menteri tidak tahu mengenai perkara itu sehinggalah pagi tadi.
Ideanya (untuk isytihar darurat) dikemukakan oleh sekelompok kecil individu dan beberapa menteri menyatakan kebimbangan (mengenai akibatnya)," tambahnya.
Sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan dengan permintaan tersebut, Muhyiddin tidak perlu membentangkan Belanjawan 2021 untuk undian ahli parlimen pada 17 Nov.
Ini juga akan menggagalkan usaha untuk melakukan undi tidak percaya terhadapnya.
Muhyiddin yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas berlakunya peristiwa 'Langkah Sheraton' pada Feb lalu, kini berdepan risiko dijatuhkan sebagai perdana menteri.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa memiliki sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru, manakala pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah bergandingan dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Muhyiddin.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Spekulasi Muhyiddin mahu isytihar darurat sedang bertiup kencang
- Kabinet setuju 'darurat' alasan Covid-19
- Agong belum perkenan 'darurat', suruh PM balik dulu
- Muhyiddin cuba elak PRU dengan isytihar 'darurat' – Pembangkang
- Muhyiddin yang sedang darurat, bukan negara – Mat Sabu
- Laksana perintah darurat, tanda PM hilang majoriti
- Agong akan bincang cadangan PM dengan Raja-raja Melayu
Join our Telegram Channel