Tak dapat tentukan bila gangguan air berakhir



KUALA LUMPUR: Sebanyak 274 kawasan didapati terjejas akibat insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih, Selangor yang dikesan sejak semalam.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi masih belum beroperasi sepenuhnya ekoran insiden pencemaran berkenaan.


Katanya, sehingga pukul 7:30 pagi tadi, pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Semenyih dan berada pada tahap 5 TON di Muka Sauk LRA Bukit Tampoi dan 7 TON di Muka Sauk LRA Sungai Semenyih.

“Dalam tempoh lebih 14 jam ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan dan pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual tidak dapat ditentukan sehingga kini. 

“Air Selangor menyarankan pengguna mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,” katanya dalam kenyataan di sini.


Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di pusat khidmat setempat yang telah disediakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Elina menambah, pihaknya akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com. 

“Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” jelasnya. – Utusan 




Join our Telegram Channel
Telegram