
Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN), Annuar Musa mencadangkan pembentukan
gabungan politik besar (grand coalition) membabitkan parti-parti politik yang
menolak Pakatan Harapan (PH).
Katanya, sudah terlalu lama politik negara berlegar di sekeliling dua tiga
personaliti bagi mempertahan atau menentang individu tertentu.
“Cukup-cukuplah. Malah penyatuan ummah tidak harus terbatas setakat Umno, PAS,
Bersatu.
“Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu grand coalition yang melibatkan
sekurang-kurangnya 12,13 parti politik yang sealiran,” katanya di Facebook
hari ini.
Annuar mencadangkan muafakat besar itu melibatkan BN, Perikatan Nasional (PN)
termasuk anggota Muafakat Nasional (MN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkan menunjukkan kerjasama berkesan
dalam kerangka PN.
Selain itu, dia turut mengundang parti-parti bebas atau yang menolak PH untuk
menyertai gabungan besar yang dimaksudkannya.
Dia menamakan parti Pejuang yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir
Mohamad, Warisan, parti Muda yang diasaskan ahli parlimen Muar Syed Saddiq
Syed Abdul Rahman, Berjasa, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Parti
Makkal Sakti Malaysia, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan lain-lain.
“Yang penting kita tinggalkan politik yang berlegar sekeliling personaliti,
dan kita semarakkan politik penyatuan ummah yang mendahulukan kestabilan,
ketahanan nasional dan kepentingan rakyat,” katanya lagi.
Ahli parlimen Ketereh itu dalam kenyataan sama turut merujuk harapan timbalan
presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memeterai kerjasama rasmi
triparite (tiga pihak) antara Umno, PAS dan Bersatu.
Join our Telegram Channel