PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa, kerajaan
Perikatan Nasional (PN) sudah diiktiraf pembangkang apabila membenarkan
Belanjawan 2021 diluluskan tanpa tentangan di peringkat bacaan kali ke-2 di
Dewan Rakyat, semalam.
Mahathir berkata, tindakan Ahli Parlimen pembangkang lain yang mengambil
keputusan menentang Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa tidak membawa
apa-apa kesan signifikan ke atas kerajaan.
“Ia hanya usaha untuk mengalih pandangan kritikan rakyat yang kecewa dengan
sikap pembangkang. Selama kerajaan Muhyiddin Yassin tertubuh, pihak
pembangkang berusaha menjatuhkannya dengan undi tidak percaya di Parlimen.
“Tetapi ini tidak berlaku. Apabila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13
ahli pembangkang yang berdiri. Maka belanjawan dilulus dengan lebihan suara,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 atau
Belanjawan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara, selepas sebahagian
besar Ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undi belah
bahagi.
Hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun menyokong cadangan Mahfuz Omar (PH-Pokok
Sena) untuk undi belah bahagi diadakan berbanding syarat minimum 15 Ahli
Parlimen bagi menyokong cadangan itu.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, keputusan majoriti pembangkang untuk
tidak menyokong cadangan mengadakan undian secara belah bahagi kerana tidak
mahu mengganggu Belanjawan 2021 di peringkat awal.
Anwar turut mengingatkan Belanjawan 2021 masih boleh ditolak pada bacaan dan
perbahasan seterusnya sekiranya ia masih tidak memenuhi aspirasi rakyat.
Mahathir berkata, sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula, tidak kurang 25
usul undi tidak percaya dikemukakan oleh Ahli Parlimen pembangkang terhadap
Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.
“Bahkan, ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum nyatakan
tentangan mereka. Tidak dapat tidak, kita cenderung untuk percaya yang
pelbagai gula-gula ditawar untuk dapat sokongan,” katanya.
Beliau mendakwa, Ahli Parlimen dari blok pembangkang sanggup berkompromi dan
menolak prinsip mereka, serta menggadai sokongan rakyat untuk kepentingan
sendiri.
“Saya dan kumpulan Pejuang akan terus tolak belanjawan ini. Ini kerana kami
tidak nampak apa-apa manfaat jangka panjang kepada negara dalam usaha tangani
masalah ekonomi yang merudum akibat Covid-19,” katanya.
Katanya, kerajaan tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk pulih dan kembangkan
ekonomi serta bantu perniagaan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.
“Yang ada hanya pemberian wang dan lebih banyak wang yang ditawar untuk
menawan hati rakyat. Tidak dinyata di mana dan bagaimana kerajaan akan dapat
hasil untuk biayai semua ini,” katanya. – FMT
ARTIKEL BERKAITAN:
- Semua pencarum KWSP terjejas boleh keluar dari Akaun 1 sehingga RM10k – Tengku Zafrul
- Moratorium automatik kepada B40, M40 terjejas boleh mohon
- Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2021
- Ini senarai 13 orang MP yang tidak sokong Bajet 2021
- Biar mati berdiri daripada hidup melutut – Mukhriz
- Mahathir bengang MP pembangkang tak bangun
- Kita akan tolak Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa – Anwar
- Jangan risau, jika proses keluar KWSP 10k rumit, kita tolak Bajet 2021 – Najib
- Belanjawan 2021: Bukan 2, tapi 7 tuntutan Umno, BN dipenuhi
- Pemuda gesa DAP berpisah dengan Anwar arah tak bangun
Join our Telegram Channel