WASHINGTON: Calon Demokrat, Joe Biden mengetepikan Donald Trump untuk bergelar
Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46, sekali gus mencipta sejarah memimpin
negara ketika pandemik Covid-19 masih mengganas selain dicengkam pergolakan
ekonomi dan sosial.
AP melaporkan, kemenangannya muncul selepas lebih dari tiga hari
ketidakpastian dan Biden melepasi angka 270 undi Dewan Pemilih (Electoral
College) melalui pengukuhan undian di Pennsylvania.
Bagaimanapun Trump dilaporkan enggan mengaku kalah dan mengancam untuk
mengambil tindakan undang-undang mengenai prngiraan undi.
Biden, 77, mempertaruhkan pencalonannya dengan pengundi beranggapan Trump
mengancam sistem demokrasi Amerika.
Strategi Biden terbukti berkesan dan menghasilkan kemenangan penting di
Michigan dan Wisconsin serta Pennsylvania.
Biden dalam kenyataannya berkata, beliau berasa rendah diri dengan kemenangan
itu dan sudah tiba masanya AS mengetepikan perbezaan politik.
“Sudah tiba masanya Amerika bersatu dan untuk pulih.
“Dengan kempen yang sudah berakhir, letakkan kemarahan dan retorik di
belakang, bersatulah sebagai sebuah negara,” katanya.
Dengan kemenangan itu, gandingannya, Kamala Harris melakar sejarah sebagai
wanita kulit hitam pertama menjadi Naib Presiden AS.
Join our Telegram Channel