PENGAMPUNAN hutang atau debt jubilee bukan sekadar omong kosong. Ketua
Pemuda PPBM, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya membangkitkan
cadangan itu bukan untuk syok sendiri.
Sebaliknya jelas beliau, ‘debt jubilee’ sebagai penyelamat rakyat di
tengah-tengah badai wabak Covid-19 dibincangkan dalam banyak media terkenal
seperti Financial Times dan Washington Post.
Tegasnya, masyarakat perlu memerlukan penyelesaian radikal kerana cabaran yang
dihadapai ketika ini adalah maha besar dan paling besar sejak Perang Dunia
Kedua.
“Ini bukan omongan kosong. Ini fakta. Perang Dunia Kedua menyaksikan
“global reset” ke atas sistem kapitalisme moden, maka kali ini selepas
hampir satu abad, sudah tiba masanya kita fikirkan “reset” yang baru.
“Kalau dulu boleh ada Bretton Woods, Marshall Plan untuk selamatkan nyawa dan
kehidupan rakyat khususnya di Barat, mengapa kita di Timur khususnya negara
sedang membangun tidak boleh memikirkan untung nasib kita sendiri?
“Mengapa biar diri kita dijajah dengan ilmu kolonial berhubung ekonomi dan
kewangan bila mana di Barat sendiri mereka persoalkan dogma-dogma tersebut
seperti gerakan “Post-Crash Economy”, “Positive Money” dan
banyak lagi,” kata beliau.
Lebih malang menurut beliau, umat Islam mempunyai panduan yang jelas dalam
Al-Qur’an dan hadith berhubung mengurus beban hutang buat fuqara’ dan masakin.
“Silakan buat rujukan tambahan. Armada hanya nyatakan cadangan untuk kita
sama-sama fikir dan bahaskan,” kata Menteri Belia dan Sukan itu.
Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini dikritik berikutan cadangannya agar bank
melaksanakan penghapusan hutang secara bersasar, khasnya kepada kumpulan
berpendapatan 40% terbawah (B40).
Beliau berkata, gesaan untuk bank menghapuskan bayaran faedah dan hutang bukan
perkara baru kerana cadangan sama turut dibangkitkan di negara lain.
Katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi yang memiliki saham
di bank mempunyai kewajipan sosial terhadap rakyat dan mereka perlu membuat
pengorbanan.
“Kita berada dalam waktu susah dan bank menjana keuntungan besar selama
beberapa tahun, jadi penghapusan hutang paling sesuai.
ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Pemuda PPBM mahu bank hapus hutang B40
Join our Telegram Channel