Covid-19: 20 positif, kilang Infineon Melaka lakukan saringan besar-besaran



Kilang mikroelektronik, Infineon di Melaka menjalankan ujian Covid-19 secara besar-besaran untuk semua pekerjanya setelah ada di kalangan mereka dikesan positif baru-baru ini.

Menurut kenyataan pengarah komunikasi korporatnya, Gregor Rodehüser,  saringan yang dilakukan berjaya mengesan beberapa lagi pekerja yang dijangkiti.

"Infineon telah melakukan saringan besar-besaran dan 100 peratus kepada semua tenaga kerja dan rakan perniagaan dan diharapkan aktiviti ini selesai hujung minggu ini.


"Hanya pekerja yang diuji negatif dibenarkan masuk ke premis yang telah dibasmi kuman," katanya sambil menambah mereka yang positif telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Kenyataan Rodehuser adalah sebagai respons terhadap pertanyaan Malaysiakini berhubung penularan Covid-19 di kalangan pekerja kilang itu di Batu Berendam Melaka.

Malaysiakini baru-baru ini mendapat maklumat bahawa hampir 20 individu yang bekerja di kilang tersebut didapati positif virus berkenaan.


Seorang pekerja yang tidak mahu namanya disiarkan mendakwa pekerja lain bimbang untuk bekerja di kilang itu kerana kes-kes tersebut.

"Kami harap media dapat beri tekanan kepada Kementerian Kesihatan atau menteri, kerana jumlah yang dijangkiti di tempat kerja meningkat tapi prosedur (di tempat kerja) lemah.

"Dengan cara tu mungkin kementerian atau menteri akan ubah (polisi). Kerana mereka yang mengidap wabak ini adalah kita yang berada di bawah," katanya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram