GEORGE TOWN – Video seorang warga emas lelaki yang berkerusi roda ditumbuk
seorang suspek lelaki dalam kejadian cubaan samun di tepi Jalan Lebuh Cina di
sini Sabtu lalu tular di media sosial hari ini.
Klip video yang dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) itu mula
tersebar menerusi aplikasi WhatApp sejak pagi tadi.
Video berdurasi 1 minit 22 saat itu menunjukkan kelibat seorang suspek lelaki
sedang berdiri di sebelahnya lalu dilihat cuba menarik beg yang disilang pada
badan mangsa.
Dalam kejadian itu, suspek yang memakai baju-t berwarna jingga dilihat
bertubi-tubi menumbuk ke arah muka mangsa sehingga hampir terjatuh dari kerusi
roda tersebut.
Mangsa yang kemudiannya diselamatkan seorang wanita separuh usia itu juga
bertindak menolak suspek sehingga menyebabkan lelaki itu melarikan diri dengan
sebuah motosikal yang ditunggang rakannya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata,
polis berjaya menahan suspek kira-kira pukul 10.30 pagi hari sama, selepas
sejam kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 9.30 pagi.
“Suspek lelaki berketurunan India berusia 32 tahun itu mempunyai sembilan
rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek negatif sebarang pengambilan
dadah dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang kerana menghidap penyakit
tibi dan pendarahan dalam perut,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, pihak polis masih mengesan penunggang motosikal terbabit yang kini
masih bebas.
“Mangsa ialah seorang gelandangan berusia 66 tahun yang mengalami patah kaki
kiri dan kanan akibat kemalangan serta berkerusi roda.
“Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan ringan pada muka,” ujarnya.
Please subscribe
Join our Telegram Channel