PETALING JAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa berikrar untuk
terus setia kepada Umno dan tidak akan menyertai PPBM.
Walaupun berdepan pelbagai tekanan dan cabaran dalam politik, ahli Parlimen
Ketereh itu berkata, jiwanya kekal sebagai ahli Umno dan tidak akan berpaling
tadah.
“Kita ini kalau sudah kahwin seorang, tak payah berhasrat nak kahwin banyak.
Kalau yang satu pun kita tak dapat nak urus, tak usah nak bercita-cita besar.
“Lagipun soal kesetiaan saya kepada parti, bagi orang dah lama dalam Umno, dia
kenal siapa saya, bagi orang baru, mungkin kena fikirlah,” katanya dalam
wawancara Insight Talk bertajuk “Kestabilan kerajaan tunjang Melayu” malam
tadi.
Baru-baru ini, tersebar satu poster didakwa daripada PPBM Bahagian Ketereh
yang mengalu-alukan penyertaan Annuar dalam parti pimpinan Perdana Menteri,
Muhyiddin Yassin.
Ia menyusul kenyataan Annuar pada minggu lalu yang mendakwa segelintir ahli
lupa Umno ialah parti sudah kalah dan jatuh.
Oleh itu, katanya, Umno perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan
layanan diterima parti itu dalam Kabinet Muhyiddin.
Susulan itu, beliau dikritik beberapa pemimpin Umno lain, termasuk Timbalan
Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan beliau figura “sudah
mati” dalam perjuangan parti Melayu itu.
Annuar kemudiannya membalas dengan berkata, beliau sedia dipecat daripada Umno
atau dilucutkan jawatan menteri kerana lebih penting ialah perjuangan parti
berterusan.
Malam tadi, Annuar yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata,
walaupun setia kepada Umno, beliau tetap bersikap sederhana dan tidak fanatik
sehingga membenci semua orang.
Selepas dikutuk dan dicemuh ahli parti, katanya, beliau kekal bersama Umno
serta pernah setia dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
“Bila bersama Mahathir, saya setia dengan dia. Sekarang bila Mahathir keluar
Umno, saya kekal dengan Umno. Tetapi, tiap kali saya buat pendirian, saya kena
kutuk.
“Saya kalah dalam pilihan raya, jatuh berkali-kali, tapi saya tetap tak
tinggalkan Umno.”
Katanya, dalam politik ada turun naiknya, oleh itu beliau mengingatkan orang
baru supaya tidak menghinanya.
“Orang baru belum lalui macam saya, dia tak boleh hina saya begitu. Yang
pasti, saya orang yang pilih Umno sebagai wadah perjuangan.”
Mengenai kritikan ahli dan pemimpin parti terhadap pendiriannya yang dilihat
mesra PPBM, Annuar berkata, beliau terbuka dan tidak mengambil hati terhadap
kritikan mereka.
Join our Telegram Channel