KECOH: MP Bintulu serang DG takut mati, hanya mahu publisiti



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, S N Rayer diperintahkan keluar Dewan Rakyat pada saat akhir sidang selepas enggan akur dengan arahan Timbalan Speaker.

Ketegangan tercetus apabila Rayer (PH-Jelutong) mendesak Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) menarik balik frasa 'DG takut mati' ketika King Sing membangkitkan isu Ketua Pengarah Kesihatan tidak turun ke Sabah ketika pendemik Covid-19 melanda.

Terdahulu, King Sing membangkitkan isu mengenai Ketua Pengarah Kesihatan yang tidak turun padang dan hanya membuat sidang akhbar harian untuk mendapatkan publisiti.

"Adakah DG dan Timbalannya tidak mahu turun padang ke Sabah kawasan yang paling tinggi kes Covid-19 kerana takut mati," kata King Sing.


Rayer mendakwa kenyataan King Sing itu memperlekeh pegawai barisan hadapan tetapi dinafikan King Sing yang menegaskan beliau hanya bertanya dan menyuarakan pandangan rakyat di sana.

Suasana dalam Dewan Rakyat menjadi kecoh dan beberapa penyokong kerajaan dan pembangkang bangun dan bertikam lidah.

Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said, kemudian berkali-kali mengarahkan Rayer duduk sebelum membuat keputusan berhubung kenyataan King Sing itu, tetapi Ahli Parlimen berkenaan enggan berbuat demikian.

Pada masa sama, Azalina kemudian memberi dua pilihan kepada King Sing sama ada memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengenai Ketua Pengarah Kesihatan itu atau memberikan penjelasan dengan meneruskan perbahasan.

King Sing memilih untuk menerangkan kenyataannya dan enggan menarik balik perkataan yang digunakan.


King Sing menyatakan beliau tidak bersalah dengan menyatakan sedemikian kerana hanya menyampaikan apa yang dinyatakan oleh rakyat dan anggota barisan hadapan.

"Saya tidak mahu tarik balik, apa salah saya cakap DG (Ketua Pengarah) ini takut mati sebab itu yang 'frontliner' nyatakan kepada saya. Saya hanya tanya bagi pihak 'frontliner'.

King Sing meminta kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas supaya rakyat tidak keliru dan teraniaya apabila dikompaun kerana didakwa melanggar peraturan ditetapkan.

"Isu ini penting dalam keadaan sekarang dan (nilai) kompaun RM1,000 itu besar. Semalam ada yang dikompaun kerana duduk sebelah-sebelah dalam kereta, ada juga didenda kerana masuk dalam stesen minyak untuk buat bayaran.

"Rakyat marah dan keliru kenapa tidak terang SOP, mesti diterangkan kepada semua agensi penguat kuasa," katanya. – Bharian



Please subscribe

 

Join our Telegram Channel
Telegram