KPM tutup semua sekolah hingga Jan 2021



Semua sekolah yang ditadbir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) - termasuk di negeri yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat - akan ditutup mulai esok sehingga hari akhir persekolahan.

Perkara itu diumum Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin pada pagi ini.

Katanya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan mulai esok menyebabkan 74 peratus sekolah di bawah KPM ditutup.

Hanya sekolah di Kelantan, Perlis, Pahang dan Sarawak yang tidak terkesan dengan pelaksanaan PKPB berkenaan.


Justeru kata Radzi KPM mengambil keputusan untuk menutup semua sekolah kelolaan mereka sehingga hari akhir jadual persekolahan yang ditetapkan sebelum ini iaitu 17 Dis (bagi negeri yang bercuti Jumaat dan Sabtu) atau 18 Dis (di negeri cuti Sabtu dan Ahad).

Pun begitu, kata menteri kanan terbabit, proses pengajaran dan pembelajaran akan diteruskan melalui kaedah atas talian atau home based learning (pembelajaran di rumah) mengikut kesesuaian pelajar.

"Langkah ini diambil bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak Covid-19," katanya pada sidang media diadakan sebentar tadi.

Tambah Radzi, sepanjang penutupan tersebut juga semua guru perlu kekal berada di tempat mereka sepatutnya bertugas.


Bagi murid yang tinggal di asrama pula, kata senator itu, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.

"Bagaimanapun murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga.

"Sepanjang tempoh tersebut murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah," katanya. – Mkini


 
Join our Telegram Channel
Telegram