BARISAN Nasional meletakkan dua syarat utama untuk parti itu menyokong
Belanjawan 2021.
Syarat itu dikemukakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional
(BNBBC) Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perbahasan peringkat Dasar Rang
Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
“Sokongan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional kepada Belanjawan 2021 tertakluk
kepada persetujuan Kerajaan untuk meluluskan Pengeluaran Akaun1 KWSP RM10,000
One-Off dan lanjutan moratorium secara pukal 6 bulan lagi sehingga 30 Jun
2021,” kata Najib.
Dalam pembentangnya, Najib berkata, wang RM10,000 dari KWSP tersebut amat
diperlukan oleh pencarum.
Antara sebabnya, pembayaran one-off ini sebanyak RM10,000 boleh digunakan
sebagai penyelesaian hutang tunggakan mereka seperti bil utiliti, bayaran sewa
atau pinjaman rumah, keperluan untuk anakanak, caruman insurans tertunggak dan
sebagainya.
Selain daripada itu, wang tersebut juga boleh digunakan sebagai modal asas
untuk memulakan perniagaan kecil terutama sekali bagi mereka yang sudah
kehilangan kerja.
“Sebagai contoh, wang ini juga boleh digunakan untuk membeli peralatan seperti
motosikal bagi menjadi pemandu penghantar makanan atau barangan.
“Rakyat juga boleh menjadikan wang tersebut sebagai modal permulaan untuk
memulakan perniagaan secara dalam talian atau “online business” yang kini
semakin pesat mengembang. Keperluan ini tidak dapat dipenuhi sekiranya dibayar
cuma RM500 setiap bulan sahaja,” kata Najib.
Mengenai lanjutan moratorium, Najib berkata, jika kerajaan boleh melanjutkan
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berkali-kali yang akan menjejaskan
pendapatan rakyat maka moratorium juga boleh dilanjutkan secara automatik dan
pukal sekali lagi.
Katanya, pihak bank masih meraih keuntungan yang besar walaupun moratorium
dilanjutkan. Najib turut meminta agar lanjutan moratorium bukan sahaja untuk
golongan B40 tetapi juga kumpulan M40.
“Pada bajet kali ini, kerajaan hanya memanjangkan moratarium kepada golongan
B40, itu pun tidak kepada semua.
“Ini secara tidak langsung seakan-akan melupakan golongan M40 yang juga
menerima kesan yang besar daripada situasi yang kita hadapi kini, malah
rata-rata golongan M40 menyuarakan ketidakpuasan mereka bahawa bajet ini tidak
memberi banyak manfaat kepada mereka
“Saya dengan ini, mencadangkan agar inisiatif moratorium pukal perlu
dipanjangkan kepada semua peminjam, termasuk moratorium untuk
pinjaman-pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN untuk tempoh 6
bulan yang akan datang sehingga 30 Jun 2021,” kata Najib. – SM
Join our Telegram Channel