KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam
direman sehari bagi membantu siasatan berhubung sebuah video disyaki menghina
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed
berkata, unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan
Undang-Undang JSJ Bukit Aman telah memulakan siasatan berhubung satu laporan
polis terhadap Lokman, semalam.
"Kita melakukan siasatan ke atas sebuah video yang telah dimuat naik oleh
Lokman kerana disyaki mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan
jelik terhadap kepimpinan Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan media,
hari ini.
Huzir berkata, pihaknya turut merampas gajet dipercayai digunakan untuk memuat
naik video tular itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil
1955," katanya.
Terdahulu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan
Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid
mengesahkan penahanan Lokman, semalam.
Difahamkan, Lokman ditahan ketika sedang bersiaran langsung melalui Facebook
di restoran miliknya berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini,
kira-kira jam 11 malam.
ARTIKEL BERKAITAN:
Please subscribe
Join our Telegram Channel