KUALA LUMPUR, 23 Nov -- Kementerian Kewangan (MoF) telah menubuhkan sebuah
jawatankuasa untuk mengkaji pelbagai langkah meningkatkan pendapatan, termasuk
kemungkinan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menurut
Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research.
Dalam nota yang dikeluarkan hari ini susulan dialog dengan Menteri Kewangan
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Jumaat lepas, Maybank IB Research
memetik Tengku Zafrul sebagai berkata bahawa langkah-langkah lain termasuklah
menganalisis kelemahan dalam rejim cukai dan impak percukaian baharu terhadap
ekonomi, mengkaji pilihan untuk cukai baharu seperti cukai karbon dan cukai
digital, merasionalisasikan insentif cukai, menambah baik pentadbiran cukai
dan meningkatkan audit cukai, seperti melaksanakan nombor pengenalan cukai dan
meningkatkan analisis data.
“Masa juga penting – terutamanya mengenai sebarang cukai baharu – supaya tidak
menganggu proses pemulihan ekonomi.
“2021 adalah tahun peralihan daripada krisis untuk pulih,” ia memetik Tengku
Zafrul sebagai berkata demikian.
Dalam jangka sederhana, Tengku Zafrul berkata kerajaan komited untuk
mengurangkan defisit belanjawan kepada empat peratus daripada Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) menjelang 2023.
“Strategi utamanya ialah meningkatkan pendapatan berdasarkan skop yang terhad
untuk mengurangkan perbelanjaan, seperti 95 peratus daripada perbelanjaan
operasi merupakan kewajipan, seperti emolumen, caj perkhidmatan hutang dan caj
persaraan,” katanya.
Mengenai sektor sarung tangan, Tengku Zafrul berkata cukai pendapatan syarikat
pengeluar sarung tangan diunjurkan sebanyak RM2.8 bilion pada 2020 dan RM4.7
bilion pada 2021.
“Kerajaan memutuskan bahawa tiada cukai keuntungan luar biasa akan dikenakan
kepada pengeluar sarung tangan untuk mengelak potensi 'kos/kerugian peluang'
seperti syarikat pembuatan sarung tangan melabur di luar negara berbanding di
Malaysia, dan menghantar isyarat yang salah kepada pelabur sedia ada dan yang
berpotensi dalam industri lain,” katanya.
Mengenai sumbangan RM400 juta daripada pengeluar sarung tangan seperti yang
diumumkan dalam Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata sumbangan itu adalah
sukarela dan selain daripada cukai pendapatan korporat pengeluar sarung tangan
sebanyak RM2.8 bilion pada 2020 dan RM4.7 bilion pada 2021.
Join our Telegram Channel