Ahmad Fadhli Shaari (PAS - Pasir Mas) menyifatkan ‘sokongan bersyarat’ BN
terhadap Belanjawan 2021 yang dinyatakan oleh bekas perdana menteri Najib
Razak semalam ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.
Dia juga berpendapat, amat janggal untuk ahli parlimen Pekan mengenakan
sokongan bersyarat seperti itu.
“Sedikit berbeza dengan ahli parlimen lain, saya rasa meletakkan syarat
sokongan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran kumpulan wang simpanan pekerja
(KWSP) Akaun 1 dan lanjutan automatik moratorium agak janggal kerana ia tiada
keperluan dalam Belanjawan 2021 ini.
“Saya rasa ia seperti (hikayat) Puteri Gunung Ledang yang meminta Sultan
Melaka membuat jambatan, hidangan nyamuk sekian sekian namun bukan bertujuan
untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan itu,” katanya.
Dia berkata demikian semasa sesi perbahasannya bagi Rang Undang-Undang
Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Najib berkata, sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 kali ini adalah
sokongan bersyarat, kerana, Umno masih menuntut kerajaan supaya melanjutkan
moratorium selama enam bulan dan membenarkan pengeluaran one-off hingga
RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.
Sementara itu, Ahmad Fadhli juga menyambut baik pembentangan Belanjawan 2021
yang menyebut bahawa moratorium kali ini akan dilakukan secara bersasar.
Dia berpendapat keadaan seperti itu dapat mengelakkan pembaziran, membantu
sektor perbankan serta dapat meningkatkan ekonomi negara.
“Walaupun kita yakin ramai perlukan moratorium tetapi saya lebih yakin ada
yang tidak memerlukan (moratorium) kerana data kerajaan ada mencatatkan
ketidakperluan beberapa golongan untuk lanjutan itu,”katanya lagi.
Namun dia mencadangkan agar proses dokumen lanjutan moratorium itu tidak
terlalu leceh dan memudahkan golongan bersasar itu.
“Jangan payahkan dengan beberapa dokumen dan pelbagai proses bankrasi. Ini
pendirian saya untuk nyatakan isu moratorium,” katanya.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan bahawa
pengeluaran simpanan KWSP daripada akaun 1 hanya boleh dibuat secara bersasar
sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.
Malah, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga menegaskan pengeluaran dari akaun
1 KWSP akan disasarkan untuk mereka yang dalam kesulitan sahaja.
Join our Telegram Channel