Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan perumpamaan hikayat
Puteri Gunung Ledang terhadap “sokongan bersyarat” BN terhadap Belanjawan
2021, bukanlah bermakna dia menolak syor-syor mereka.
Katanya, perkara dibangkitkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam
perbahasan, iaitu lanjutan moratorium enam bulan dan pengeluaran Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, masih terbuka untuk perbincangan.
Namun, tambahnya, yang tidak dipersetujuinya ialah tindakan meletak syarat
untuk menyokong rang undang-undang (RUU) berkenaan.
"Hanya satu isu yang saya tidak bersetuju secara total, iaitu meletak syarat,
kerana kedua-dua perkara itu tiada dalam RUU Perbekalan (Belanjawan).
"Oleh yang demikian, apabila anda berkata, 'Saya menyokong belanjawan ini
dengan pindaan'. Saya bertanya, nak pinda di mana? Ia tiada dalam RUU
Perbekalan," katanya di Facebook.
Meskipun ada pihak mendakwa dua perkara berkenaan ada di dalam ucapan
Belanjawan 2021, Ahmad Fadhli memberi bayangan agar mereka membezakan antara
ucapan berkenaan dengan RUU Perbekalan yang sedang dibahas di parlimen kini.
"Saya mungkin boleh setuju, jika ayatnya berbunyi begini, 'Saya sokong
belanjawan ini, dengan syarat, kerajaan umumkan polisi berhubung moratorium
dan KWSP sebagaimana cadangan saya', itu kedengaran agak munasabah.
"Tetapi meletak syarat, sokong dengan pindaan, nak pinda di mana? Sebab itu
saya kata, meletak syarat ini apa tujuannya?
"Hasilnya lahirlah syarat Puteri Gunung Ledang," katanya lagi.
Semalam Ahmad Fadhli menyifatkan sokongan bersyarat BN itu sebagai janggal dan
ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.
“Sedikit berbeza dengan ahli parlimen lain, saya rasa meletakkan syarat
sokongan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran kumpulan wang simpanan pekerja
(KWSP) Akaun 1 dan lanjutan automatik moratorium agak janggal kerana ia tiada
keperluan dalam Belanjawan 2021 ini.
“Saya rasa ia seperti (hikayat) Puteri Gunung Ledang yang meminta Sultan
Melaka membuat jambatan (emas), hidangan (hati) nyamuk sekian, sekian, namun
bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan
itu,” katanya di Parlimen semalam.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Lanjut moratorium, KWSP RM10,000 syarat BN sokong Belanjawan 2021
- [Video] Rayer buat perangai lagi, ganggu perbahasan Najib
- Saya bekas Menteri Kewangan pun keliru dengan Belanjawan 2021 – Najib
- MP Pas balun Najib, sokongan bersyarat BN ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang
- Syarat Najib-BN sokong Bajet 2021 boleh dilaksanakan, melainkan jika PN yang mahu menolak
Join our Telegram Channel