KUALA LUMPUR – Mampu berkereta mewah dan sering keluar negara untuk bermain
golf, itu antara gaya hidup berlebihan yang dikesan dalam kalangan segelintir
pegawai dan anggota polis, walaupun tidak setara dengan jawatan dan gaji
bulanan yang diperoleh.
Cara hidup ‘ala orang kaya’ itu dengan bangganya dikongsikan menerusi laman
sosial peribadi masing-masing, sehingga mendatangkan tanda tanya terutama
dalam kalangan orang awam, tentang sumber kekayaan yang diperoleh untuk
membiayai perkara itu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk
Zamri Yahya berkata, pihaknya sedang memantau rapi trend itu untuk mengekang
salah laku dalam kalangan anggota dan pegawainya, demi menjaga intergriti
pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya diberitahu ada anggota sering bermain golf selain membuat taruhan dalam
aktiviti itu. Kalau dilihat bermain di kelab golf bertaraf sederhana sahaja,
sekali bermain memerlukan kos RM200… kalau sebulan dah berapa perbelanjaan
digunakan?
“Ada juga yang didapati kerap ke luar negeri untuk bermain sukan berkenan
sedangkan ia melibatkan pembiayaan tinggi. Apabila diperiksa berdasarkan
jawatan atau pendapatan, sebenarnya mereka tidak mampu untuk menampungnya,”
katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Selain itu Zamri berkata pihaknya turut mengesan ada pegawai yang hanya
berpangkat Inspektor, namun mampu membeli kereta serta memiliki rumah mewah
yang diragukan sumber perolehannya.
Sehubungan itu, katanya, anggota dan pegawai yang telah dikenal pasti itu akan
diminta memberi penjelasan tentang sumber kewangan diperoleh, bagi membiayai
cara hidup mewah itu.
“Jika tidak dapat memberikan justifikasi, mereka akan berdepan tindakan
lanjut,” tegasnya.
Jelasnya sebagai seorang penjawat awam dan anggota badan beruniform, mereka
perlu mengelakkan sebarang perbuatan salah laku yang boleh menjejaskan imej
pasukan polis.
Zamri turut memaklumkan pihaknya turut memberi perhatian terhadap majlis
keramaian yang diadakan PDRM.
Menurutnya majlis keramaian di peringkat kontinjen Bukit Aman terikat dengan
peruntukan kerajaan dan mempunyai hadnya sendiri untuk digunakan.
Hal itu kadang kala memerlukan peruntukan luar yang diperoleh secara rasmi
atau sebaliknya.
“Biasanya peruntukan yang rasmi itu tidak banyak berbanding secara tidak
rasmi, menyebabkan ada anggota yang terdedah dengan aktiviti rasuah dan
sebagainya.
“Contohnya apabila mereka mendapat peruntukan itu dari pusat hiburan atau
kelab malam di luar sana, ia menyebabkan mereka terikat, bahkan tidak dapat
mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan kesalahan jenayah, melibatkan
premis itu pada masa akan datang,” katanya. – Bernama
Join our Telegram Channel