SEORANG penyanyi yang juga merupakan penceramah agama bebas telah ditangkap
polis malam tadi atas dakwaan disyaki merogol seorang wanita yang juga
kenalannya dalam media sosial di Shah Alam pada tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Sahat berkata,
suspek berusia 25 tahun itu ditahan sekitar 11 malam tadi selepas hadir ke
Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam untuk memberi keterangan ekoran laporan
polis daripada mangsa rogol pada Rabu lalu.
Katanya suspek didakwa melakukan perbuatan jijik itu di Studio I-Soho, Seksyen
7, Shah Alam dalam kejadian pada 11 September tahun lalu.
“Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu mangsa perempuan berusia 23 tahun
telah keluar dengan suspek yang baru dikenali di laman sosial Instagram dengan
menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan
masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.
“Suspek telah membawa mangsa makan di kedai makan di kawasan Batu 3, Shah Alam
dan selepas makan, mangsa telah dibawa ke rumah suspek di Seksyen 7 dengan
alasan untuk memberikan penerangan bagaimana boleh keluar dari penyakit
kemurungan.
“Mangsa telah dirogol oleh suspek dan mangsa tidak terdaya hendak melawan
serta tidak tahu cara mahu keluar dari tempat tersebut,” katanya dalam
kenyataan malam tadi.
Pada keesokan hari, selepas kejadian iaitu 12 September 2019 lalu sekitar jam
6.40 pagi, suspek telah didakwa memberikan amaran kepada mangsa supaya
merahsiakan apa yang berlaku dan memberi amaran yang mangsa sentiasa dipantau
setiap masa.
Menurut beliau, suspek terus menghantar mangsa ke bawah lobi apartment dan
mangsa menaiki Grab untuk pulang ke rumah sewa mangsa di Subang Jaya.
Bagaimanapun pada 23 September 2019 mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kajang
kerana mengalami tekanan perasaan serta dirujuk ke rawatan psikiatri.
“Pada Oktober 2019, mangsa telah balik ke rumah keluarga di Triang, Pahang
serta telah mendapat rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah
Temerloh dan ditahan di wad psikiatri selama lima hari.
“Pihak Hospital Temerloh telah mengatakan mangsa telah mengalami tekanan
perasaan yang teruk serta trauma akibat dari kejadian tersebut dan sehingga
laporan polis ini dibuat, mangsa masih menerima rawatan susulan di hospital
yang sama.
Join our Telegram Channel