SHAH ALAM – Taktik dua individu warga tempatan menyembunyikan syabu di dalam
120 bungkusan teh Cina tidak menjadi apabila mereka ditahan dalam satu serbuan
di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan dekat sini pada 10 November lalu.
Serbuan jam 4.30 petang, Selasa lalu dijalankan sepasukan anggota dari Jabatan
Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bersama
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berusia
25 tahun dan 31 tahun itu dicekup ketika menaiki sebuah kereta Ford Mustang.
“Hasil pemeriksaan di dalam kereta mewah itu, pihak polis berjaya merampas 120
bungkusan teh cina mengandungi dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram yang
dianggarkan bernilai RM4.8 juta.
“Suspek pertama bekerja sebagai peniaga barangan kosmetik di Kelantan dan
bergelar Datuk Seri manakala suspek kedua pula adalah adik kepada suspek
pertama dan merupakan penjawat awam di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang
media di IPK Selangor hari ini.
Menurut Arjunaidi, kedua-dua suspek yang ditahan itu adalah warganegara
tempatan dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Hasil saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek adalah negatif,”
katanya.
Hasil susulan tangkapan pertama membawa kepada tangkapan kedua melibatkan
seorang warganegara Indonesia dan dua warga tempatan berusia antara 32 hingga
43 tahun.
“Ketiga-tiga suspek ini tidak bekerja dan merupakan orang tengah bagi urusan
jual beli dadah ini. Hasil ujian saringan awal polis terhadap ketiga-tiga
suspek didapati positif jenis methamphetamine.
“Dua daripada suspek ini mempunyai rekod jenayah lampau salah seorang
mempunyai 19 kes dadah dan jenayah,” jelasnya.
Dalam serbuan kedua itu, pihak polis turut menyita sebuah kereta jenis Nissan
Almera, Toyota Innova, Honda HRV dan wang tunai dengan jumlah nilai sitaan
RM158,000.
Kesemua suspek telah ditahan reman semalam tujuh hari mulai 11 November hingga
17 November 2020 di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Join our Telegram Channel