Umno kini tidak lagi ada pilihan untuk bertanding dalam PRU akan datang hanya
bersama PAS sebagai sekutu, seperti rancangan awalnya dahulu, menurut
Setiausaha Agung BN Annuar Musa.
Katanya, ini memandangkan PAS bertegas bahawa Umno mesti turut menjadi rakan
sekutu dengan Bersatu.
“Dalam kajian kita, Umno dan PAS ada kekuatan sendiri dan memang boleh menang
(dalam PRU akan datang).
“Tapi tanya PAS, adakah PAS boleh menerima idea hanya Umno dan PAS dan
tinggalkan Bersatu?
“Pilihan ini tidak wujud. […] PAS berpegang pada dasar Umno, PAS dan Bersatu
hendaklah bersama,” katanya dalam temu bual bersama Ketua Penerangan Umno
Shahril Hamdan malam tadi.
Annuar mendakwa PAS menyatakan pendirian itu dengan jelas dalam mesyuarat
Muafakat Nasional (MN) Rabu lalu.
Selepas kerjasama antara Umno dan PAS membuahkan kemenangan di beberapa PRK
selepas PRU 2018, kedua-dua parti itu memeterai kerjasama Muafakat Nasional
pada September 2019.
Penganalisis politik malah berpandangan jika Umno dan PAS berganding bahu
dalam PRU akan datang, mereka mampu menyingkirkan Bersatu yang diketuai
Muhyiddin Yassin dan merampas Putrajaya.
Bagaimanapun, PAS kini merupakan antara ahli Perikatan Nasional gagasan
Bersatu. Usaha turut dilakukan untuk membawa Bersatu dalam Muafakat Nasional
secara rasmi.
Umno bagaimanapun dilihat berselisih dengan Bersatu apabila parti itu mendakwa
tidak mendapat layanan dan penghormatan sewajarnya sebagai parti terbesar
dalam gabungan PN yang membentuk kerajaan Persekutuan.
Pun begitu, kata Annuar, naratif itu adalah rekaan semata-mata.
“Itu cerita rekaan...Separuh daripada kabinet adalah (daripada) BN...Apa benda
yang kita buat dalam kerajaan kita boleh buat, dan kita boleh ambil
tanggungjawab.
“Tapi mengapa nak reka cerita kita tak dilayan dengan baik?” soalnya.
Menurut Annuar, Umno telah menerima struktur kabinet tersebut ketika menyertai
kerajaan pada Mac, justeru dia mempersoalkan mengapa suara tidak puas hati
timbul selepas itu.
Dia turut menyifatkan Umno ada kala terperangkap dalam superiority complex
(kompleks tinggi diri), dan lupa bahawa ia tewas dalam PRU lalu.
Dia berkata keputusan untuk bekerjasama dengan Bersatu adalah keputusan
bersama parti itu, dalam usaha untuk menolak kerjasama dengan presiden
PKR Anwar Ibrahim dan DAP.
Berkenaan jawatan timbalan perdana menteri daripada Umno pula, dia berkata
parti itu harus jelas sama ada tuntutan itu dibuat mewakili parti atau untuk
kepentingan individu tertentu.
Soalnya, apakah Umno mahu Muhyiddin mungkir janji untuk tidak melantik
pemimpin yang berdepan tuduhan rasuah di mahkamah dalam kerajaan, atau apakah
ia mahu mengabaikan pendirian presiden Ahmad Zahid Hamidi untuk membersihkan
namanya di mahkamah.
Join our Telegram Channel