Sungai Melaka bertukar keruh



MELAKA: Air Sungai Melaka yang sebelum ini bersih bertukar keruh seakan-akan warna ‘teh tarik’ malah dipenuhi sampah sarap di sekitar Pengkalan Rama sejak pagi ini. 

Selain pemandangan yang kurang menyenangkan itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, terdapat ratusan ekor ikan di tepi tebing dipercayai ada kaitan dengan pengaruh air laut pada musim air pasang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, keadaan keruh itu terjadi selepas air empangan terpaksa dilepaskan bagi mengelak limpahan yang menyumbang kepada berlakunya banjir.


“Air di Empangan Batu Hampar terpaksa dilepaskan dan segala sisa kotoran yang telah mendap sebelum ini akan timbul semula, sekali gus menjadikan air Sungai Melaka menjadi keruh dan kotor. 

“Walaupun fenomena kali ini tidak seteruk sebelumnya pihak kami sudah arahkan kerja pembersihan dilakukan segera dengan membuang segala sampah sarap yang dibawa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Ujar Murad, beliau yakin keadaan air Sungai Melaka akan kembali pulih dalam tempoh terdekat sekiranya cuaca tidak hujan.


“Kalau tiada hujan dalam tempoh sehari dua, air akan kembali bersih seperti biasa.

“Tetapi apabila berlaku hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai, air akan mengalir ke bawah menyebabkan paras empangan tinggi dan terpaksa dilepaskan,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang pengunjung, Norhanim Lajim, 30, berkata, dia yang melalui kawasan itu untuk aktiviti berbasikal bersama rakannya terkejut apabila melihat perubahan warna air sungai itu.

“Boleh dikatakan setiap hari saya akan melalui kawasan ini untuk berbasikal tetapi hari ini memang terkejut melihat keadaan seperti ini,” ujarnya. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram