Mangsa bunuh putus tangan korban cita-cita demi jaga ibu



Kuala Terengganu: "Sedih, rasa macam mimpi kakak dah takde (tiada)," kata Siti Nurliyana Syuhada Ismail, 15, adik kepada Siti Nur Surya, 19, yang mati dibunuh rakan sendiri di ruang tamu rumah keluarganya di Kampung Lubok Batu, Telemong, semalam.

Katanya, pemergian kakaknya secara tiba-tiba meninggalkan kesan mendalam buat dirinya.

Dia menyifatkan arwah sebagai kakak dan anak yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan kedua orang tua.


"Arwah sangat baik. Saya akan merinduinya selepas ini apatah lagi kakak yang selalu menghantar dan menjemput saya pergi dan balik sekolah," katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian jenazah Siti Nur Surya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, malam ini.

Dia yang masih dalam keadaan sugul tidak percaya arwah kakaknya pergi dalam keadaan menyayat hati.

"Saya tidak menyangka tragedi berdarah ini berlaku kepada kakak. Ketika melihat mayatnya dengan pergelangan tangan kiri putus, saya takut dan terus keluar rumah untuk menelefon bapa," katanya.

Bapa arwah, Ismail Muda, 58, pula menyifatkan arwah seorang yang baik dan sangat menyayangi ibunya.


"Demi kasih arwah terhadap ibunya, dia sanggup mengorbankan pelajarannya apabila mengambil keputusan tidak menyambung pengajian selepas tamat tingkatan lima.

"Dia bercita-cita menjadi seorang pelukis pelan dan sepatutnya menyambung pengajian dalam bidang lukisan pelan senibina di Akademi Binaan Negara (ABN) Hulu Terengganu Januari tahun ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, memikirkan ibunya yang terlantar sakit, dia melupakan impian bergelar pelukis pelan hanya kerana mahu menumpukan perhatian menjaga ibu. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram