Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof
berpendapat, tiada masalah untuk mewujudkan semula jawatan timbalan perdana
menteri dan memberikan jawatan kabinet kedua tertinggi itu kepada Umno, yang
kini sebahagian dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, Redzuan menegaskan keputusan itu terletak di tangan Perdana
Menteri Muhyiddin Yassin.
Jelasnya lagi, jika usaha itu dapat memperkukuhkan kerajaan PN, ia patut
dibincangkan dalam peringkat tertinggi bersama Muhyiddin.
“Secara peribadi saya tak nampak masalah (beri jawatan timbalan perdana
menteri kepada Umno) kerana kita adalah rakan untuk mentadbir urus (negara)
tetapi terpulang kepada perdana menteri sebab beliau yang mewujudkan kabinet
dan melantik menteri.
“Saya tidak menidakkan apa yang disebut tetapi kalau itu dilihat dapat
memperkasa PN maka kita harus berbincang secara lebih mendalam,” katanya
seperti dipetik portal Utusan Online hari ini.
Muhyiddin yang menggalas jawatan perdana menteri pada Mac lalu memutuskan
untuk tidak melantik timbalan perdana menteri.
Namun dia telah melantik empat menteri kanan. Antaranya Mohamed Azmin Ali dan
Mohd Radzi Jidin (dari Bersatu), Ismail Sabri Yaakob (Umno) dan Fadilah Yusoff
dari Gabungan Parti Sarawak.
Isu terbabit telah diperdebatkan selepas Ismail menerusi wawancara bersama
Mingguan Malaysia berkata, isu gesaan Umno untuk meminta jawatan timbalan
perdana menteri akan dibangkitkan setelah perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan
Rakyat selesai.
Tambah Ismail, selain dirinya, Umno tidak diberikan jawatan kabinet tertinggi
meskipun memegang majoriti terbesar dalam kerajaan PN.
Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi malah meminta ahli partinya supaya
tidak mendesak Muhyiddin untuk mewujudkan jawatan timbalan menteri dan
memberikannya kepada Umno.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan mempertahankan
pemimpin partinya berhak mendapat jawatan timbalan perdana menteri.
Zahid tidak mungkin dilantik sebagai timbalan perdana menteri sekiranya
jawatan itu diadakan semula kerana berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah
dan pengubahan wang haram.
Meskipun Umno dilihat mempunyai bilangan kerusi yang banyak dalam PN, namun
Redzuan berkata, peranan dan fungsi Bersatu tidak boleh diketepikan.
“Hari ini banyak kritikan (terhadap parti) yang kita dengar tapi kita tak
mengendahkannya dan kita jalan terus sebab objektif kita sudah jelas iaitu
untuk membantu rakyat terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19,”
katanya.
Ditanya berhubung keputusan perhimpunan agung tahunan parti itu semalam untuk
meminda Perlembagaan bagi memberikan ruang keahlian kepada bukan bumiputera,
Redzuan berkata, usaha partinya mencerminkan sifat keterbukaan.
“Malah, keputusan memansuhkan jawatan pengerusi juga tepat kerana sudah lama
kita berpendapat tidak wajar satu kapal ada dua nakhoda,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Zahid ingatkan Ismail Sabri jangan desak Muhyiddin isu TPM
Join our Telegram Channel