PETALING JAYA: Lebih 200 pekerja termasuk wartawan dan jurugambar akhbar The
Star diberhentikan kerja dalam tamparan terbaru kepada industri media tempatan
yang semakin merudum.
Menurut sumber, pihak pengurusan akhbar harian memberikan surat pemberhentian
kerja kepada hampir 50 wartawan dan petugas lain dari Jabatan Pengarang
semalam.
Hampir 200 pekerja dari jabatan lain turut menerima notis pemberhentian kerja.
Menurut sumber, pengurusan The Star di jangka menghentikan hampir 150 pekerja
lagi awal tahun depan.
Selepas diakui akhbar paling laris sekian lama, The Star akhirnya mengikut
langkah pesaingnya seperti Media Prima, melaksanakan pemberhentian kerja pada
skala besar untuk memotong kos operasi.
Beberapa kesatuan sekerja mengecam tindakan The Star dan menegaskan
pemberhentian kerja itu tidak patut dilakukan tergesa-gesa dan tanpa menerokai
pilihan lain.
Kumpulan Star Media yang dikuasai MCA dilaporkan mempunyai aset bernilai RM1
bilion pada tahun lalu.
Bagaimanapun, beberapa pelaburan oleh gergasi media itu gagal meraih pulangan
yang disasarkan selain jualan akhbar merosot secara drastik.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Halim Mansor berkata The
Star sepatutnya menimbang pendekatan lain untuk mengurangkan kos dan bukannya
memberhentikan pekerja.
Beliau berkata dalam keadaan sekarang, pengurusan akhbar itu sepatutnya
menimbang opsyen seperti mengurangkan gaji kakitangan untuk menyelamatkan
pekerjaan mereka.
“Semua syarikat mempunyai tanggungjawab terhadap kakitangan mereka, khususnya
dalam persekitaran mencabar ketika ini. Mereka (The Star) seharusnya
berikhtiar agar kakitangan mengekalkan mata pencarian mereka,” kata beliau.
“Apabila sesebuah syarikat memberhentikan pekerja, ia sebenarnya mengambil
jalan mudah untuk menyelesaikan masalahnya.
“Kerajaan sepatutnya melarang syarikat memberhentikan pekerja dalam
persekitaran yang ada sekarang,” kata beliau.
Halim dukacita dengan tindakan pemberhentian kerja oleh The Star, terutama
sekali kesannya ke atas kakitangan berusia “yang tentunya kesukaran untuk
mendapatkan pekerjaan baharu.”
The Star melaksanakan program pemberhentian kerja itu selepas dua Skim
Pemisahan Sukarela (VSS) sebelum ini tidak mencapai sasaran pengurangan tenaga
kerja.
Dalam suku ketiga tahun ini, Kumpulan Star Media mencatatkan keuntungan bersih
RM26.9 juta.
Kumpulan itu mencatatkan hasil pendapatan RM48.2 juta dalam suku ketiga,
penambahan 53% berbanding RM31.5 juta yang diraih dalam suku kedua.
Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan, Farah Marshita Abdul Fatah, berkata
walaupun ekonomi semasa suram, majikan harus menjadikan pemberhentian kerja
sebagai pilihan akhir.
“Mereka tidak harus mengambil jalan mudah dengan memberhentikan pekerja.
“Para wartawan sudah pun menanggung kepayahan seperti pemotongan elaun, malah
waktu bekerja mereka juga dipendekkan,” kata beliau.
Farah berkata majikan The Star sepatutnya menawarkan kakitangan terbabit untuk
bercuti tanpa gaji antara enam bulan hingga setahun dan bukannya diberhentikan
terus.
“Masa kini amat mencabar dan sebagai petugas media, kami memberi keutamaan
kepada tugasan kami setiap waktu. Namun di waktu susah, lazimnya kami yang
dikorbankan dahulu,” kata beliau.
Join our Telegram Channel