GEORGE TOWN: Presiden MIC S Vigneswaran berkata Menteri Besar Kedah Muhammad
Sanusi Md Nor harus meletak jawatan jika gagal mengharamkan parti komponen
Barisan Nasional itu.
“Teruskan, cubalah untuk mengharamkan kami (MIC). Tetapi jika gagal, beliau
(Sanusi) harus letak jawatan sebagai MB,” kata Vigneswaran kepada FMT.
Semalam Sanusi berkata MIC harus diharamkan sekiranya didapati menghasut
rakyat, selepas parti itu membantah keras perobohan Kuil Sri Raja Muniswarar
di Taman Bersatu, Kuala Kedah yang berusia lebih 50 tahun.
Sanusi memberi amaran kepada MIC “jangan celupar, jangan jadi hero berdasarkan
populariti”.
Vigneswaran menyifatkan Sanusi sebagai jahil dan tidak layak menjadi MB.
“Kami ada hak untuk bertanyakan (isu perobohan kuil) kerana kebebasan
mengerjakan ibadat dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.
“Jika tindakan kami mempertahankan hak masyarakat disifatkan (beliau) sebagai
menghasut, maka PAS juga mesti diharamkan berdasarkan pelbagai tunjuk perasaan
yang dianjurkannya mengenai isu antarabangsa dan membuat dakwaan (Amerika
Syarikat) adalah pengganas,” kata beliau.
Vigneswaran berkata berdasarkan sikap Sanusi, “tidak menghairankan DAP tidak
boleh bekerjasama dengan PAS kerana keangkuhannya.”
Beliau berkata Sanusi sepatutnya mendokong jaminan Presiden PAS Abdul Hadi
Awang sebelum ini tidak merobohkan mana-mana rumah ibadat bukan Islam.
ARTIKEL BERKAITAN: MIC patut diharamkan jika hasut rakyat langgar undang-undang – MB
Kedah
Join our Telegram Channel