Paderi ditahan, cabul pengikut sejak 2011



Seorang paderi gereja persatuan orang pekak akan didakwa dengan dua pertuduhan di mahkamah minggu depan setelah dituduh mencabul pengikutnya antara tahun 2011 dan 2016.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, polis telah menerima enam laporan polis mengenai perkara itu mulai 12 November tahun ini, dan suspek telah ditahan pada 23 November.

"Mangsa lewat membuat laporan polis kerana sebelum ini suspek sering mempengaruhi mangsa dengan mengatakan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin dan mereka perlu menuruti setiap arahan suspek," kata Huzir dalam kenyataan media hari ini.


Jelas Huzir, suspek telah direman selama tujuh hari dari 24 hingga 30 Nov di ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara, dan kemudian dikuarantin hingga 8 Disember kerana mempunyai kontak rapat dengan tahanan yang positif Covid-19.

Suspek kemudian ditangkap semula berhubung dengan laporan polis yang dibuat di Kepala Batas, Pulau Pinang, dan kemudian direman selama empat hari berhubung dua kes di negeri itu.

Dia kini direman enam hari dari 13 Disember hingga 18 Disember untuk siasatan lanjut mengenai laporan polis yang dibuat di Petaling Jaya.

"Suspek akan menghadapi dua pertuduhan di mahkamah Butterworth, Pulau Pinang, pada 21 Disember 2020," katanya.


Huzir berkata, paderi berusia 54 tahun itu adalah warga asing yang dijemput oleh sebuah persatuan orang pekak untuk menjalankan kelas agama di gerejanya sejak tahun 1998.

Lima mangsa adalah lelaki berumur antara 27 hingga 40 tahun, yang merupakan anggota persatuan orang pekak dan bisu.

Kelas dan aktiviti gereja dilakukan secara berkala di Pulau Pinang dan Selangor.

"Kejadian berlaku di gereja, di dalam kereta, dan di rumah sewa suspek dari 2011 hingga 2016," kata Huzir lagi. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram