PETALING JAYA: Penyatuan ummah yang diuar-uarkan PAS dan UMNO akan jadi
‘perjuangan sia-sia’ jika parti Islam itu terus mengutamakan hubungannya
dengan PPBM dan ‘dingin’ terhadap UMNO, kata seorang penganalisis politik.
Mengatakan perpecahan dengan UMNO akan merugikan pakatan serta PAS dan PPBM,
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata PAS yang tidak
konsisten menyebabkan pemimpin Umno terasa hati dan keresahan itu semakin
ketara.
“Dalam hubungan UMNO-PAS ini, PPBM boleh dilihat sebagai pihak ketiga, ibarat
kewujudan orang ketiga dalam pasangan kekasih,” katanya kepada FMT.
Awang Azman percaya kecenderungan PAS itu mungkin kerana UMNO kurang berkuasa
berbanding PPBM, yang memegang jawatan tertinggi kerajaan dan kata putus dalam
setiap keputusan tertinggi negara.
Selain itu, PPBM mengisi kelemahan PAS yang kurang berpengaruh di pantai barat
Semenanjung, seperti parti serpihan UMNO, Semangat 46, satu ketika dulu.
“Jalan selamat kepada UMNO-PAS-PPBM jika mahu terus berkuasa pada pilihan raya
umum ke-15 ialah PAS harus keluar dari Perikatan Nasional dan fokus kepada
Muafakat Nasional sahaja,” katanya.
Awang Azman berpandangan PAS harus memikirkan semula rakan politik yang boleh
membawa kepada kemenangan besar.
“Manakala PPBM perlu akur kepada tuntutan MN dan realiti semasa bahawa UMNO
ialah parti yang kukuh dari segi akar umbi dan kini bangkit semula,” kata
beliau.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Ahmad Yakob, yang juga menteri besar Kelantan, pada
2 Dis berkata usaha mengekalkan perpaduan Melayu menerusi perjuangan politik
tidak boleh mengenepikan PPBM, dan pergerakan parti Melayu juga perlu
melibatkan parti serpihan UMNO itu.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin, yang berkata
kekuatan partinya dan PAS sudah mencukupi untuk menjadi dominan.
UMNO Kelantan pula kurang jelas sama ada PAS ingin meneruskan MN atau
sebaliknya susulan kenyataan Ahmad itu, mengatakan mereka akan bertembung di
semua kerusi pada PRU-15 “sekiranya PAS lebih cenderung untuk mengetepikan MN
yang telah disepakati”.
Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia bagaimanapun berkata
kenyataan Ahmad itu selaras pendirian PAS dan UMNO yang mahu mengukuhkan MN
dengan melibatkan PPBM.
Tafsiran lain, katanya, “perkara yang tiada seperti diada-adakan”.
Justeru, hasrat menubuhkan majlis presiden yang diumumkan Presiden PPBM,
Muyiddin Yassin, baru-baru ini harus segera dilaksanakan bagi melancarkan
pakatan itu.
“Majlis presiden ini harus diperluaskan ke peringkat negeri dengan melibatkan
pengerusi parti peringkat negeri pula.
“Di sinilah tempatnya kalau nak bergaduh, berbincang atau berunding, bukan
jadikan media sebagai platform berbalah,” katanya.
Jawatankuasa Pemandu MN mengundang PPBM menyertai MN secara rasmi pada Ogos,
diikuti jawapan rasmi PPBM menyatakan kesediaan berbuat demikian pada bulan
sama.
ARTIKEL BERKAITAN: Nik Abduh mahu kerjasama Pas-Umno sampai kiamat
Join our Telegram Channel