KUALA LUMPUR – Tiba masanya blok pembangkang di Dewan Rakyat mencari individu
baharu bagi mengetuai blok tersebut untuk menjadi lebih kuat.
Ketua Whip Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Rozman Isli berkata wujud
ketidakpuasan hati dalam kalangan anggotanya terhadap kepimpinan dan hala tuju
blok pembangkang yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita rasa tidak puas hati dan merasakan telah tiba masanya untuk kita bagi
isyarat yang mana kita rasakan kepimpinan blok pembangkang ini perlu dilihat
semula.
“Kita perlu seorang pemimpin yang boleh membawa kita menjadi satu pasukan yang
lebih kuat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Labuan berkata, telah banyak peluang diberikan
kepada Presiden PKR itu, namun hala tuju Anwar masih tidak jelas.
Beliau yang enggan menamakan individu untuk menggantikan Anwar sebagai Ketua
Pembangkang, menyifatkan ramai muka baru dan muda layak menduduki kerusi itu.
“Saya tidak ada nama (pengganti). Cuma bagi saya, ramai (yang boleh
menggantikan Anwar).
“Apa yang penting sekarang adalah untuk pemimpin kita yang ada sekarang kena
muhasabah dan boleh menilai sesiapa (pengganti).
“Ramai pemimpin-pemimpin muda… dalam PKR pun banyak yang mempunyai kebolehan.
Saya yakin kita akan jadi lebih kuat,” ujarnya.
Timbul persoalan sebelum ini berkait keyakinan Warisan terhadap kepimpinan
Anwar apabila tidak ada seorang anggota mereka hadir pada sesi pengundian
belah bahagian melibatkan dua kementerian pada peringkat jawatankuasa Rang
Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 pada Isnin.
Selain Rozman, Ahli Parlimen Warisan yang tidak hadir hari ini ialah Datuk
Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna), Datuk Darell Leiking (Penampang),
Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar),
Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar) dan Datuk Mohamaddin Ketapi
(Lahad Datu).
Join our Telegram Channel