Kuala Terengganu: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu
(PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim membuat keputusan mengejut apabila
mengumumkan peletakan jawatan itu bermula 1 Januari 2021.
Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Kuala Nerus itu sudah pasti
menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat setia skuad Penyu kerana beliau
baharu sahaja menyambung tugas itu tidak sampai sebulan ketika Kongres Tahunan
PBSNT pada 3 Disember lalu.
Selain itu sepanjang berkhidmat dengan badan induk bola sepak negeri, beliau
berjaya membantu pasukan itu muncul naib juara Piala Malaysia pada 2018,
ketiga Liga Super musim ini serta layak beraksi pada pentas Piala AFC musim
depan.
Bagaimanapun, Hishamuddin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia,
Sukan dan Badan Kerajaan (NGO) negeri menegaskan penswastaan TFC meyakinkan
beliau untuk berundur selepas memegang jawatan nombor dua PBSNT sejak Ogos
2018.
Katanya sudah tiba masanya untuk kembali berbakti 100 peratus dan memberi
sepenuh perhatian kepada tugas hakikinya sebagai wakil rakyat bagi membuka
peluang kepada individu yang lebih layak untuk memegang jawatan itu.
"Saat untuk saya berundur dirasakan sudah tiba bagi memberi fokus keutamaan
terhadap tanggungjawab sebenar sebagai wakil rakyat dan pengunduran ini
membuka peluang buat tokoh baharu yang lebih berkelayakan untuk mengambil alih
nanti.
"Ada sebahagian orang menganggap jawatan dalam bola sepak ini satu peluang
untuk membina 'mileage' politik, tapi bagi saya tidak sebegitu, malah ia
adalah tanggungjawab besar yang memerlukan tumpuan dan pengorbanan.
"Melihat persiapan pasukan dan kesiapsiagaan menempuhi musim baharu, saya
menaruh harapan dan kepercayaan terhadap TFC untuk memulakan langkah dengan
lebih berfokus serta berkeyakinan.
"Dengan keadaan yang agak meyakinkan seperti ini, saya ingin maklumkan
peletakan jawatan saya sebagai Timbalan Presiden PBSNT berkuat kuasa pada 1
Januari 2021. Peletakan jawatan ini juga sekali gus secara bersama sebagai
Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd pada tarikh yang sama.
"Terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Presiden PBSNT yang
sentiasa menyokong usaha saya dan tidak pernah mengabaikan keperluan pihak
PBSNT sepanjang beliau memimpin, begitu juga kepada semua rakan-rakan pimpinan
dalam PBSNT dan TFC, serta Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa
Belia Sukan dan NGO negeri yang sentiasa memberikan sokongan," katanya di
laman sosialnya semalam.
Sebelum ini pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim
berpandangan bola sepak negara tidak akan memiliki masa depan jika masih lagi
dipimpin oleh ahli politik kerana segelintir mereka hanya mahukan publisiti
untuk kepentingan peribadi.
Join our Telegram Channel