KUALA LUMPUR – Dalam atmosfera ledakan krisis politik kerajaan Perikatan
Nasional (PN) namun, kelihatan tiga tokoh pemimpin utama parti politik ini
berbincang dalam suasana harmoni dan muafakat.
Pertemuan enam mata antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah berlangsung
di ibu negara semalam.
Gambar-gambar pertemuan tiga pemimpin parti utama orang Melayu dan Islam
tersebut yang berlangsung di pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen
itu dikongsi Muhyiddin di dalam media sosialnya malam ini.
Secara ringkas, Perdana Menteri memaklumkan pertemuan tersebut bagi
membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama di antara Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (BERSATU), Pas dan UMNO.
“Semalam saya mengadakan pertemuan dengan YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi
Awang, Presiden Pas dan YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO.
“Kami berbincang mengenai usaha-usaha untuk memperkukuhkan hubungan
kerjasama antara BERSATU, Pas dan UMNO,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Muhyiddin dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung
Tahunan Bersatu di ibu negara telah menyeru kepada semua pemimpin Melayu dan
Islam untuk bersatu dalam sebuah jemaah yang besar di bawah Perikatan
Nasional (PN).
Sebaliknya, jika berpecah belah, kata Muhyiddin, seruan perpaduan Melayu dan
penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata.
“Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan mengajak
saudara-saudari sekalian supaya melihat maslahah yang lebih besar,
kepentingan yang lebih utama.
“Alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat
bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah belah dalam
kabilah-kabilah kecil yang melemahkan kita.
“Ya, jika kita hanya memikirkan kepentingan kabilah kita, kelompok kita,
parti kita, maka selama-lamanyalah kita akan berpecah belah.
“Seruan perpaduan Melayu, penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata.
Malay unity will always remain an elusive dream. It will never
materialize in our lifetime,” katanya. – pnbbcportal
Join our Telegram Channel