KUALA LUMPUR: Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerajui kerajaan pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan alasan untuk sesetengah akar umbi parti
hilang adab serta menggadaikan institusi kepresidenan, tegas Datuk Hasan Abd
Rahman.
Ketua UMNO Bahagian Jasin itu berkata, beliau kecewa ada akar umbi yang
termakan dengan hasutan untuk memecah-belahkan parti dengan menyeru Presiden
UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.
Tegasnya lagi, perbuatan itu adalah bertentangan dengan budaya orang Melayu
kerana tidak beradab dan wajar digelar sebagai petualang dalam parti.
“Polemik politik murahan sebegini hanya akan melenyapkan sistem dan parti kita
sendiri. Tanamkan keyakinan dan sokongan kepada institusi Presiden, Timbalan
dan barisan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO Malaysia.
“Ikutlah budaya kita orang Melayu. Perbezaan pendapat itu perkara biasa,
setiap kesilapan tidak semestinya kesalahan tetapi janganlah mengkhianati
perjuangan nan suci,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasan berkata, akar umbi parti diseru menyantuni rakyat dengan mengembalikan
keyakinan terhadap UMNO.
Tambahnya lagi, fokus juga harus diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi
negara dan rakyat akibat terkesan dengan wabak pandemik COVID19.
“Perbezaan pendapat itu perkara biasa, setiap kesilapan tidak semestinya
kesalahan tetapi janganlah mengkhianati perjuangan nan suci.
“Kita semua perlu ada kekuatan diri dalam menghadapai pelbagai cabaran, ini
kerana setiap kelemahan akan mempengaruhi psikologi. Justeru itu, UMNO
Bahagian Jasin konsisten untuk memperjuang dan menjuarai isu rakyat dulu kini
dan selamanya,” katanya lagi.
Join our Telegram Channel